TERTUDUH seorang guru, Mohd Nazri Omar, 38, diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pil ekstasi ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin


GURU mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan memiliki pil ecstasy, Jumaat lalu.

Tertuduh Mohd Nazri Omar, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Hurman Hussain, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya jenis 3, 4, methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat kasar 0.80 gram yang disenarai dalam jadual pertama Akta Dadah Berbahaya 1952, pada 2.30 petang, 23 Mac lalu di Pangsapuri Pasir Puteri, Kampung Portugis, Ujong Pasir.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh kemudian merayu dibenarkan jaminan yang rendah kerana mempunyai tanggungan keluarga.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Hurman selepas itu menawarkan jaminan RM4,000 ke atas tertuduh dan menetapkan 8 Mei depan untuk serahan laporan kimia, sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Tertuduh membayar jaminan yang ditawar kepadanya.

Tertuduh seorang guru, Mohd Nazri Omar, 38, diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pil ekstasi ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh. STR/ MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 3:22 PM