Noraqilah ditemani ibunya ketika menerima rawatan di Hospital Ampang.
Abnor Hamizam Abd Manap
cnews@nstp.com.my

Jempol: Seorang gadis menangguhkan pengajiannya di kolej di ibu negara sejak hujung tahun lalu apabila kesihatannya terganggu selepas disahkan menghidap leukemia.

Noraqilah Mohd Yusof, 21, dari Taman Bahau di sini, disahkan menghidap penyakit berkenaan November lalu, sekali gus menyebabkan hasrat menamatkan pengajian terbengkalai.

Bapanya, Mohd Yusof Basri, 51, berkata, anak kedua daripada empat beradik itu pada awalnya dimasukkan ke Hospital Ampang kerana demam berterusan.

Katanya, dia pada awalnya mengesyaki anaknya demam denggi namun doktor mengesahkan Noraqilah menghidap leukemia.

“Anak saya menjalani kemoterapi selama empat bulan. Walaupun dia selesai menjalani rawatan itu, namun banyak sel badan mati sehingga memerlukan sel baru daripada kakak dan dua lagi adiknya,” katanya.

Penuntut semester lima Diploma Pengurusan Industri Halal itu menjalani pembedahan kelmarin bagi membuang gigi rosak dan dijangka menjalani satu lagi rawatan bagi menggantikan sel mati pertengahan April depan.

“Sel gantian diambil daripada adik beradiknya dan selepas itu badannya perlukan setahun untuk sel berkenaan berfungsi dengan baik,” kata pesara tentera itu.

Menurut Mohd Yusof, sejak dimasukkan ke hospital, dia dan isteri, Ainun Wan Zah Ismail, 49 bergilir-gilir menjaga Noraqilah, malah isterinya menjadikan wad sebagai rumah kedua kerana jarang pulang.

“Biar pun susah kerana seminggu sekali perlu menjenguk anak di Bahau dan isteri memerlukan perbelanjaan harian sepanjang menjaga Noraqilah, saya berusaha demi memastikan anak saya sihat,” katanya.

Orang ramai yang sudi membantu boleh menyumbang terus ke akaun bank CIMB Bank miliknya di nombor 05110000841204.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 6:06 AM