AHMAD Ramali menunjukkan saiz lembu baka Charolais yang menjadi Johan Pertandingan Lembu Sado sempena Karnival Terengganu 2018.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Minat terlampau! Ungkapan paling sesuai dilabel kepada seorang warga emas di Kampung Atas Tol, di sini yang dilihat terlalu taasub dengan lembu baka.

Ketaasuban Ahmad Ramali Mohd Nor, 60, mendorong dia yang juga adik kepada pelakon terkenal, Eman Manan membelanjakan ratusan ribu ringgit bagi menternak pelbagai jenis lembu baka.

Hingga kini, Ahmad Ramali menternak 30 lembu baka termasuk jenis Charolais, Blue Bega, Blonde dan Limousin.

Katanya, dia tidak kisah berbelanja besar demi minatnya terhadap penternakan lembu baka itu malah pada Disember lalu dia membelanjakan lebih RM100,000 untuk membeli 19 lembu Charolais dan Limousin.

“Lembu itu saya beli daripada seorang penternak di Kampung Pasir Tinggi.

“Meskipun belanjanya besar, saya tetap rasa berbaloi kerana ia akan memberi pulangan yang lebih lumayan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di ladang lembu bakanya di sini, semalam.

Menurutnya, dia mula menternak lembu itu sejak 15 tahun lalu sebelum menambah jumlahnya dari semasa ke semasa.

“Ketika mula-mula terbabit dalam penternakan ini, saya membeli lembu baka daripada penternak sekitar sini.

“Alhamdulillah, kini saya boleh membiaknya sendiri dan purata 10 anak lembu baka dilahirkan. Kos makanan bagi ternakan mencecah RM5,000 sebulan, selain beri makan rumput untuk diet yang seimbang,” katanya.

Ahmad Ramali berkata, harga lembu baka tidak seperti lembu kampung dan ia biasanya ditetapkan penternak mengikut saiz, serendah RM10,000.

Dia juga pernah menjual Charolais betina dan anaknya berusia sebulan pada harga RM21,000.

“Lembu baka sudah sebati dengan hidup saya, malah saya dah terlebih ‘masak’ keadaan ia sama ada sihat, sakit atau tertekan,” katanya yang memperoleh tauliah menyembelih selain menguruskan Rumah Sembelih Persendirian yang diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri.

Sebelum ini, lembu baka Charolais milik Ahmad Ramali yang diberi nama Hero dan mempunyai berat hampir satu tan menjadi Johan Pertandingan Lembu Sado sempena Karnival Terengganu 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 6:52 AM