MASRI menunjukkan jari telunjuk kirinya yang lebam dan menjadi kehitam-hitaman selepas dipatuk ular tedung, petang semalam. FOTO Mohd Shukor Amin
Mohd Shukor Amin


LELAKI warga emas cedera di jari telunjuk tangan kiri akibat dipatuk ular tedung ketika cuba memasukkan haiwan berbisa itu ke dalam karung guni, 5 petang semalam.

Ketika kejadian, Masri Ismail, 66, membantu menangkap ular sepanjang satu meter di pekarangan rumah jirannya di Kampung Parit 6 1/2 Barat, Sungai Besar, Sabak Bernam.

“Jiran menghubungi saya memaklumkan ada ular di depan rumahnya dan saya terus bergegas untuk membantunya.

“Pada mulanya, saya ingat hanya seekor ular, tapi apabila sampai, rupanya dua ekor ular sedang mengawan.

"Saya mengambil masa 10 minit memasukkan dua ular ke dalam kantung guni berbeza menggunakan batang besi. Namun, secara tiba-tiba, jari tangan kiri dipatuk salah seekor haiwan berbisa itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam, hari ini.

Masri yang berpengalaman sebagai penangkap ular sejak lebih 10 tahun lalu berkata, dia sering dipanggil untuk membantu penduduk kampung jika ada rumah yang dimasuki haiwan berbisa itu.

Katanya, ini adalah kali kedua dia dipatuk ular jenis sama selepas kejadian pertama pada Ogos 2015.

"Ketika kejadian kali pertama dulu, saya dipatuk ular pada bahagian jari telunjuk sebelah kanan. Apa pun saya bersyukur kerana tiada kejadian buruk berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabak Bernam, Leftenan Muda (PA) Abdul Wahab Salamat berkata, pihaknya dipanggil ke HTAJ Sabak Bernam pada 7.15 malam bagi mengenal pasti spesies ular itu.

"APM dipanggil untuk mengenal pasti spesies ular bagi membolehkan pihak hospital menentukan jenis serum dan rawatan khusus kepada mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 6:24 PM