PEGAWAI KPDNKK memeriksan premis yang menjual telekung dipercayai tiruan (gambar kiri). Antara telekung tiruan jenama Siti Khadijah yang dirampas. FOTO Ihsan KPDNKK Putrajaya
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


BUKAN hanya beg atau kasut berjenama terkemuka menjadi mangsa cetak rompak, malah telekung jenama Malaysia turut menjadi mangsa kegiatan pemalsuan didalangi sindiket tempatan.

Ini dibuktikan susulan operasi dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang berjaya merampas sejumlah telekung tiruan jenama Siti Khadijah yang dijual di pasaran.

Jurucakap KPDNKK berkata, pihaknya sebelum ini menerima aduan daripada pemilik cap dagang sebelum bertindak melakukan risikan terhadap kewujudan telekung tiruan berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, operasi khas kemudian dilakukan di beberapa premis di Johor Bahru dan Sungai Besar, Selangor, yang dikesan menjual telekung palsu berkenaan.

“Operasi membanteras penjualan telekung tiruan itu dilakukan susulan tindakan berani kebanyakan penjual mengiklankan produk tiruan itu di laman sosial.

“Peniaga mendakwa telekung itu adalah produk asli, namun dijual pada harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga produk tulen," katanya.

Katanya, hasil serbuan pada Selasa lalu, sebanyak 420 pasang telekung jenama Siti Khadijah dirampas susulan pemeriksaan mengejut di beberapa premis pakaian di Johor Bahru.

“Rampasan turut membabitkan telekung dijual peniaga online yang berniaga dari rumah. Pihak KPDNKK kemudian melakukan serbuan sama di beberapa premis butik pakaian di Sungai Besar, Selangor pada Jumaat lalu dan merampas tiga helai telekung jenama tiruan Siti Khadijah.

“Siasatan mendapati telekung tiruan itu dijual pada harga antara RM80 hingga RM120 setiap satu. Harga ditawarkan ini jauh lebih rendah berbanding harga produk tulen antara RM150 hingga RM235 setiap satu.

“Susulan itu semua telekung tiruan itu dirampas dan tindakan diambil mengikut mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011 , " katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati telekung tiruan itu dibawa masuk dari Vietnam dan mempunyai perbezaan daripada segi corak dan kualiti berbanding produk asal.

Isu penjualan telekung dan tudung palsu turut mencetuskan perdebatan di kalangan nitizen apabila ada yang mendakwa tindakan memakai tudung dan telekung cetak rompak boleh menyebabkan solat atau ibadah si pemakai tidak diterima.

Malah, tindakan menggunakan telekung mahupun tudung jenama cetak rompak dianggap berdosa berikutan ia mencuri hak pemilik asal produk berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 11:03 PM