ANGGOTA polis di sisi mayat mangsa kemalangan  di Jalan Cheras, semalam.
ANGGOTA polis di sisi mayat mangsa kemalangan di Jalan Cheras, semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera parah selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum melanggar tiang lampu jalan di Jalan Cheras, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa Hasri Mohd Yusoff, 50, dan isteri, Norshidah Daiman, 46, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Beranang selepas menyertai larian KL Book Run 2018 di ibu kota.

Kemalangan menyebabkan Hasri maut akibat kecederaan parah pada tubuh manakala isterinya yang membonceng motosikal patah kaki kiri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku apabila mangsa cuba memasuki susur jalan ke Taman Len Seng dari arah pusat bandar.

“Bagaimanapun motosikal dinaiki mangsa dan isteri hilang kawalan lalu terbabas melanggar bahu jalan sebelum merempuh tiang lampu jalan.

“Isteri mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tunku Muhriz, Cheras untuk rawatan lanjut.

“Mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam..

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 10:26 AM