LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai kehilangan mangsa, semalam.
Ifwan Tun Tuah


MAYAT pemancing yang lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Empangan Sungai Terip, Seremban, semalam, ditemui terapung tidak jauh dari lokasi kejadian mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Mohamad Idris berkata, jasad Muhammad Affandi Yusoff, 25, ditemui pasukannya yang membuat rondaan menggunakan bot pada 7.30 pagi hari ini.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dimulakan sejurus kita menerima laporan kehilangan mangsa jam 6 petang semalam membabitkan 40 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta Unit Anjing Pengesan (K9)

“Mayat mangsa ditemui terapung beberapa ratus meter dari lokasi dia tergelincir dan bomba menaikkannya sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, untuk bedah siasat," katanya.

Dalam kejadian 5.30 petang semalam, Muhammad Affandi dikatakan turun ke sungai berkenaan untuk menarik tali pancing yang tersangkut sebelum dihanyutkan arus.

Seorang rakan mangsa yang melihat kejadian itu cuba membantu, namun gagal sebelum menghubungi bomba untuk bantuan.

Berita berkaitan

'Turun sungai terus hanyut'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 6:26 PM