MENTERI Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak. FOTO Hairul Anuar Rahim
MENTERI Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak. FOTO Hairul Anuar Rahim
HM Digital

RANG Undang-undang (RUU) Antiberita Palsu 2018 dibentang di Parlimen beberapa hari lalu menarik pelbagai perhatian dan pandangan, namun kerajaan mengalu-alukan perbincangan dan selepas mendengar banyak cadangan, kerajaan membuat perubahan terhadap RUU termasuk mengurangkan hukuman maksimum sabitan kesalahan kepada penjara enam tahun.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, bagaimanapun, beberapa liputan berhubung RUU itu sengaja dikelirukan, manakala sesetengahnya ternyata palsu.

“Contohnya, takrifan berita palsu dalam RUU itu dinyatakan dengan jelas dan spesifik; kebebasan bersuara seperti diperuntukkan mengikut Perlembagaan Persekutuan tidak akan disekat; dan kerajaan tidak akan menentukan apakah berita palsu, sebaliknya pihak berkecuali iaitu mahkamah yang membuat keputusan menerusi proses undang-undang.

“Sejak seorang bekas pemimpin berundur dan kebebasan kehakiman kembali, kita dapat melihat keputusan mahkamah kerap tidak menyebelahi kerajaan serta menteri kanan.

“Jangan lupa, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, memperkenalkan pelbagai pendekatan berkesan sejak kemerdekaan negara ke arah mengukuhkan kebebasan bersuara dan demokrasi.

“Contoh, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan; Perintah Darurat yang berkuat kuasa selama lebih 60 tahun dihapuskan; kebebasan media ditingkatkan dengan melupuskan halangan terhadap lesen penerbitan akhbar; Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda bagi membolehkan mahasiswa aktif berpolitik; manakala Akta Perhimpunan Aman diluluskan buat pertama kali bagi memberi hak protes aman dilakukan,” katanya.

Menurut Salleh, kerajaan akan bertindak bila perlu bagi memelihara keselamatan dan kebebasan rakyat, selain proses demokrasi negara.

Tanpa disangkal, undang-undang berita palsu ini perlu diwujudkan. Tambahan pula, Malaysia tidak bersendirian dalam hal ini malah negara termasuk anggota ASEAN iaitu Singapura dan Filipina, mempertimbang atau sudah melaksanakan undang-undang sama dalam menangani berita palsu.

“Jerman sudah melaksanakan undang-undang antiberita palsu memperuntukkan denda sehingga €50 juta (RM241 juta) terhadap rangkaian sosial yang gagal menarik balik kandungan palsu dalam tempoh 24 jam.

“Di Perancis, Presiden Emmanuel Macron, berikrar memperkenalkan undang-undang melarang berita palsu di Internet ketika pilihan raya,” katanya.

Menurutnya, pihak yang perlu bimbang terhadap RUU Antiberita Tidak Benar 2018 bukanlah golongan yang menampilkan pandangan jujur dan melaporkan secara betul berdasarkan protokol kewartawanan sebenar.

Kisah sebenar Malaysia ialah sejak Perdana Menteri menerajui pentadbiran pada 2009, Pendapatan Negara Kasar (PNK) meningkat lebih 50 peratus, hampir 2.7 juta peluang pekerjaan diwujudkan, kadar pengangguran dan inflasi rendah, manakala kemiskinan tegar hampir dihapuskan.

“Ekonomi Malaysia berkembang dengan pantas tahun lalu sehingga Bank Dunia menaikkan unjurannya tiga kali sepanjang 2017, manakala angka sebenar pertumbuhan pada 5.9 peratus mengatasi jangkauan mereka,” katanya..

“Ini adalah fakta, dan mereka perlu menyebarkannya di negara ini dan di luar negara. Rakyat Malaysia berhak mengetahui keadaan sebenar. Pembangkang dan beberapa media yang menyokong mereka tidak bersetuju dengan hakikat ini. Mungkin mereka lebih gemar memutar-belit, memfitnah dan menipu, namun kerajaan akan terus berjuang membela kebenaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 10:49 PM