ZULKIPLI (dua dari kanan) menunjukkan satu dari empat laras senapang angin buatan sendiri yang dirampas daripada seorang peniaga pada sidang media di IPD Bintulu, hari ini. FOTO ihsan polis
Erika George


TEMPAH melalui laman sosial Facebook (FB) kemudian hantar barang menerusi kenderaan awam.

Itu modus operandi satu sindiket penjualan senapang angin bagi menghantar empat laras senjata berkenaan kepada pemilik kedai mencacah tatu, yang ditahan polis di premis perniagaannya di Pusat Komersial Parkcity, Bintulu, hari ini.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan dalam serbuan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bintulu, 3 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, pemeriksaan di dalam premis suspek menemui empat laras senapang angin pelbagai jenis.

Beliau berkata, turut ditemui 14 butir bebola besi dan 19 bebola plastik dipercayai peluru senapang angin itu dan satu unit tabung gas yang berfungsi sebagai peledak senjata berkenaan.

“Hasil siasatan awal, suspek mendakwa memperoleh senapang berkenaan dari penjual di FB tiga tahun lalu iaitu antara 2014 hingga 2016.

“Suspek mengaku membeli senapang angin berkenaan berharga antara RM700 hingga RM1,400 selaras.

“Selepas wang dimasukkan ke dalam akaun penjual, senapang dikirimkan kepada pembeli dengan menggunakan kenderaan pengangkutan awam dan difahamkan stok senapang angin itu diperoleh selatan negeri ini,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, hari ini.

Zulkipli berkata, suspek mengaku beliau membeli serta menyimpan senjata berkenaan sebagai hobi serta koleksi simpanan peribadi.

Beliau berkata, suspek bersama bahan bukti dibawa ke IPD Bintulu bagi tindakan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 36, Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda RM 5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 3:39 PM