TELEVISYEN yang dipercayai dibaling dari tingkat atas sebuah pangsapuri di Taman Seri Intan, Ampang, mengakibatkan kerosakan pada kereta Perodua Myvi, semalam. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


TINDAKAN tidak bertanggungjawab individu yang dipercayai membaling televisyen dari tingkat atas pangsapuri di Taman Seri Intan, Ampang, mengakibatkan kerosakan pada sebuah kereta.

Kejadian disedari pemilik kereta Perodua Myvi itu pada 12 tengah hari semalam, namun televisyen seberat hampir 10 kilogram terbabit dikatakan tidak mengenai penghuni pangsapuri berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihak pengurusan pangsapuri itu membuat aduan berhubung kejadian itu pada 12.50 tengah hari.

“Ketika kejadian, ada petugas pihak pengurusan berada di kebun berhampiran pangsapuri berkenaan sebelum dia menyedari ada objek iaitu televisyen dibuang dari tingkat atas dan terkena kereta Perodua Myvi.

“Kami mengambil keterangan daripada pemilik kereta berkenaan dan mendapati pemilik televisyen berkenaan adalah penghuni di tingkat 13 blok pangsapuri terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hamzah berkata, berdasarkan keterangan pemilik televisyen berkenaan, dia meletakkan televisyen itu di depan rumah kerana sudah rosak dan mahu membuangnya.

“Televisyen itu diletakkan di depan rumah sejak tiga minggu lalu kerana ketika dia mahu membuang televisyen berkenaan, ia menghempap kakinya menyebabkan hanya diletakkan di depan rumah.

“Pemilik televisyen itu memaklumkan dia tidak mengetahui individu yang membuangnya ke bawah. Siasatan lanjut dijalankan pegawai penyiasat mendapati tiada saksi melihat kejadian itu dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 4:41 PM