Mohd Zambri (kanan) dan Jafri.
ORANG ramai memenuhi kaunter pembayaran saman dan kompaun di Pejabat JPJ Kuala Lumpur, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin

PENGUMUMAN pemberian diskaun sebanyak 70 peratus bagi bayaran saman dan kompaun yang dibuat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semalam mendorong orang ramai tampil membuat semakan saman.

Tinjauan NSTP di kaunter JPJ Kuala Lumpur, Wangsa Maju hari ini mendapati ramai individu tampil membuat semakan dan pembayaran saman serta kompaun di pejabat agensi berkenaan.

Menurut pemandu teksi, Jafri Karim, 50, dia membuat semakan saman dan kompaun yang dikenakan terhadapnya selepas dimaklumkan mengenai tawaran diskaun itu.

Katanya, dia mengambil peluang untuk membayar saman dan kompaun yang berkemungkinan dikenakan terhadapnya memandangkan ada tawaran diskaun seperti diumumkan oleh agensi berkenaan.

"Sebagai pemandu teksi, saya mungkin ada melanggar peraturan lalu lintas terutama membabitkan kesalahan melebihi had laju. Sebaik dimaklumkan mengenai tawaran diskaun itu, saya membuat keputusan untuk membuat semakan sekiranya ada saman dan kompaun dikenakan.

"Saya menyambut baik tawaran ini kerana mengurangkan beban dengan mengurangkan bayaran berbanding kadar asal dikenakan memandangkan pendapatan sebagai pemandu teksi yang berpendapatan rendah," katanya ketika ditemui di pejabat JPJ Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sementara itu, pemandu bas, Mohd Zambri Ishak, 35, berkata, inisiatif JPJ itu dianggap membantu mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah terutama bagi individu yang memiliki lebih daripada satu saman atau kompaun.

"Bayaran saman atau kompaun berbeza mengikut jenis kesalahan dilakukan dan semakin banyak saman dikenakan, lebih tinggi bayaran perlu dibuat. Dengan adanya tawaran diskaun ini, mereka yang dikenakan saman yang banyak mungkin boleh melunaskan semua bayaran dikenakan.

"Pada masa sama, diskaun ini meringankan beban golongan berpendapatan rendah seperti pemandu bas supaya wang yang sepatutnya digunakan bagi pembayaran berkenaan boleh digunakan untuk perkara lain," katanya ketika ditemui di pejabat JPJ Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi mengumumkan JPJ menawarkan diskaun 70 peratus terhadap semua saman dan kompaun dikeluarkan agensi itu selama sebulan bermula semalam hingga 2 Mei nanti sempena ulang tahun JPJ ke-72 di semua kaunter JPJ di seluruh negara.

Bagaimanapun, lima kesalahan yang tidak berhak mendapat diskaun itu adalah kesalahan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), kompaun Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), kesalahan Berat Dengan Muatan (BDM) atau lebih muatan bagi kenderaan lebih lima tan, saman mahkamah serta saman dan kompaun membabitkan warga asing.

Tawaran diskaun 70 peratus juga mencatat sejarah baru berikutan JPJ tidak pernah menawarkan diskaun setinggi itu sepanjang 72 tahun penubuhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 4:43 PM