ABDUL Wahid (kiri) bersama Abdul Rahman melakukan gimik pada majlis pra pelancaran Minggu Saham Amanah Malaysia 2018 di Menara PNB, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Sri Ayu Kartika Amri


PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) buat julung kali menampilkan rumah teres sebagai hadiah utama untuk pengunjung bertuah pada Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2018 di Stadium Batu Pahat, Johor.

MSAM 2018 bakal berlangsung pada 19 hingga 25 April ini.

Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran 150,000 pengunjung sepanjang MSAM berlangsung pada bulan ini.

Katanya, program selama seminggu itu adalah acara tahunan PNB yang diadakan sejak 2000 dan sehingga ini berjaya menarik minat 3.6 juta pengunjung.

“Penganjuran acara tahunan ini bertujuan meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai pelaburan dan perancangan kewangan.

“Dalam masa sama, pameran ini turut memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami pelaburan unit amanah terutama hubung kait dengan risiko pelaburan," katanya pada majlis pra pelancaran MSAM 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Hadiah utama berupa rumah teres unit tengah di Bandar Universiti Pagoh itu dibangunkan oleh Sime Darby Property dengan nilai RM375,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 6:58 PM