Normaznah dan Syafiqah merealisasikan impian bergambar dengan seragam di puncak Gunung Datuk.
HM Digital

Rembau: Bagi merealisasikan impian bergambar dengan pakaian seragam di puncak Gunung Datuk, di sini, dua kakitangan dari Hospital Kota Tinggi (HKT), Johor sanggup membawa pakaian berkenaan dan menukarnya sebaik sampai di puncak gunung.

Dua jururawat itu, Normaznah Gidos, 34, dan Syafiqah Kamarudin, 35, bersama 13 lagi rakan daripada Kelab XPDC dan Rekreasi HKT membuat pendakian di Gunung Datuk yang berketinggian 855 meter dari aras laut.

Ketua ekspedisi, Syafiqah Kamarudin berkata, dia sudah lama merancang untuk mendaki Gunung Datuk dan bergambar dengan memakai pakaian seragam jururawat di puncak gunung.

“Saya selalu melihat gambar pendaki gunung memakai pakaian biasa tetapi tidak dengan pakaian seragam kami yang serba putih.

“Bagi saya ini sebagai satu cara saya menghargai pakaian seragam dengan membawanya sehingga ke puncak gunung.

“Saya berpuas hati kerana hasrat untuk bergambar bersama pakaian seragam di puncak gunung berjaya kerana ia jarang kita lihat dan pastinya saya berbangga dengan kerjaya ini,” katanya.

Rakannya, Normaznah Gidos, 34, berkata, dia turut membawa pakaian seragam kerja kerana turut tertarik dengan idea itu.

“Memang seronok apabila dapat bergambar dengan pakaian seragam yang biasa kita pakai di hospital waktu bertugas. Bagi saya ia satu kepuasan dan rasa bangga dengan kerjaya kami.

“Ramai rakan sekerja yang menyesal kerana tidak membawa pakaian seragam kerana tidak terfikir berbuat demikian dan ada yang berharap mahu datang lagi ke sini dengan membawa pakaian rasmi kami di tempat kerja,” katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 6:13 AM