Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my

Melaka: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam, atas tuduhan mencederakan seorang lelaki, tahun lalu.

Mohd Faizal Che Zain, 33, dan Nursir Elyana Basiruddin, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan, Nursir Elyana didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Zaki Abd Rashid, 27, menggunakan tangan di sebuah premis di Jalan Bukit Beruang Utama, Ayer Keroh, jam 2.30 petang, pada 3 Jun 2017.

Mohd Faizal pula didakwa menyebabkan kecederaan ke atas mangsa sama dengan menggunakan sebilah pedang bersarung pada lokasi, waktu dan tarikh sama.

Nursir Elyana didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mohd Faizal pula didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan berkenaan.


MOHD Faizal dan Nursir Elyana dibawa keluar dari mahkamah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari mencadangkan jaminan RM5,000 ke atas setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Ishak Kari merayu dibenarkan jaminan rendah dengan alasan kes berlaku membabitkan salah faham.

“Tertuduh juga sudah berbaik dengan pengadu dan menyelesaikan kes ini di luar mahkamah, malah pengadu sudah membuat laporan polis untuk menarik balik kes, selain turut hadir di mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin ke atas Nursir Elyana, manakala RM1,000 kepada Mohd Faizal dengan seorang penjamin, selain menetapkan 2 Mei depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 9:28 AM