UTC Seremban yang memberikan banyak kemudahan kepada penduduk setempat. FOTO Adzlan Sidek
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

KERAJAAN Negeri Sembilan berharap sebuah lagi Pusat Transformasi Bandar (UTC) dibina di negeri itu, selepas UTC pertama yang dibuka di Ampangan, Seremban pada Disember tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut mencadangkan lokasi UTC itu di Nilai, berikutan kawasan itu yang semakin pesat membangun ketika ini.

Katanya, Nilai kini semakin padat dengan penduduk terutama kakitangan kerajaan dan swasta selain pelajar berikutan terdapat beberapa universiti di kawasan itu.

“Mereka ini antara golongan yang banyak menggunakan perkhidmatan kerajaan. Jadi kita akan bawa cadangan ini kepada Kerajaan Pusat untuk diteliti,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri di Seremban, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, UTC di Ampangan yang baru beroperasi Disember lalu mendapat sambutan yang menggalakkan berikutan kewujudan kaunter '1 Serve' yang menjimatkan masa menunggu orang ramai.

Katanya, sehingga Februari lalu kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) paling ramai pelanggan iaitu 65,030 orang diikuti Tabung Haji (23,477 orang) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) 20,953).

“Ini jelas menunjukkan penubuhan UTC di negeri ini memberikan kebaikan dan manfaat kepada masyarakat setempat kerana memudahkan urusan orang ramai,” katanya.

Mohamad berkata, ketika ini Kerajaan Pusat juga sudah bersetuju membina sebuah lagi Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di negeri ini iaitu di Bandar Baru Serting, Jempol.

Katanya, lokasi RTC baharu itu juga sudah dikenal pasti dan dipilih kerana kurang kesesakan selain mahu menghidupkan kawasan baharu itu.

Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan negeri meminda Dasar Perumahan Negeri Sembilan dengan mewajibkan pemaju membina 20 peratus rumah mampu milik berharga RM80,000 ke bawah, berbanding sebelum ini hanya 15 peratus dalam setiap projek yang diluluskan.

Katanya, bagi rumah mampu milik berharga RM400,000 pula, diturunkan kepada 15 peratus berbanding sebelum ini 20 peratus, manakala rumah berharga RM250,000 dikekalkan sebanyak 15 peratus.

“Rumah mampu bilik berharga RM80,000 ke bawah sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat, menyebabkan kerajaan negeri menaikkan kuota sedia ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 4:47 PM