LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
Syed Umar Ariff; Mohd Iskandar Ibrahim dan Hazwan Faisal Mohamad


DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis akan melakukan siasatan berhubung penahanan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar berhubung penyalahgunaan dadah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, siasatan terperinci itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan melakukan siasatan, biar polis siasat,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada kes itu adalah tindakan sabotaj pihak tertentu.

Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Halal Sedunia 2018 Kuala Lumpur, hari ini.

Media pada Isnin lalu melaporkan Rizalman ditahan di sebuah kelab malam di Jalan Imbi, Kuala Lumpur dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (JSJKL) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya.

Hasil siasatan awal polis mendapati beliau dan beberapa lagi rakannya positif dadah.

Rizalman pada satu sidang media pagi ini mendakwa disabotaj berhubung penahanannya dalam penyalahgunaan dadah seperti laporan media, sebelum ini.

Beliau berkata tidak pernah terbabit dalam sebarang pengambilan dadah seperti yang tersebar dan yakin ia adalah satu perangkap terhadapnya bertujuan merosakkan nama baiknya.

Berita berkaitan

Saya disabotaj - Rizalman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 6:09 PM