MAGESVARY bersama anaknya yang berstatus OKU di rumah sewa mereka di Taman Selesa Jaya, Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


“MUNGKIN lima anak saya yang mengalami masalah autisme memiliki seribu kekurangan, namun bagi saya mereka adalah permata hidup tidak ternilai.

“Lima anak autisme ini sanggup bekerja di pusat mencuci kereta dan menawarkan khidmat membersihkan rumah pada hujung minggu demi meringankan beban keluarga,” kata ibu kepada lima penghidap autisme, M Magesvary, 42.

Magesvary berkata, selain anak sulungnya, J Kesavan, 20, empat cahaya matanya yang turut mengalami masalah autisme ialah Rajeswari, 17; Sarawanan, 17,Krishnan, 15, dan anak keenam Harish, 12.

Katanya, anaknya bongsunya, Prithipraj, 9, pula orang kurang upaya (OKU) fizikal kerana mengalami kecacatan di kedua-dua tangan dan hanya anak kelima, Prabu, 14, adalah normal.

Berkongsi berkaitan Kesavan, Magesvary berkata, anak sulungnya itu sudah tamat mengikuti kelas pembelajaran khas beberapa tahun lalu sebelum bekerja di pusat mencuci kereta sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, Kesavan memiliki bakat dan kreativiti dalam gubahan coklat dan pernah menjuarai beberapa pertandingan di peringkat sekolah, namun tidak berpeluang untuk mengikuti kursus berkaitan kerana masalah kewangan keluarga.

“Semangatnya untuk bekerja adalah luar biasa dan rutin hariannya termasuk bangun seawal 7 pagi untuk bersiap sedia ke tempat kerja dan kami difahamkan dia antara pekerja mematuhi ketetapan masa.

“Setiap hari Kesavan pulang ke rumah pada 8 malam dan hingga kini dia tidak pernah mengeluh penat bekerja, sebaliknya gembira kerana dapat membantu keluarga,” katanya.

Magesvary berkata, Kesavan menggunakan pendapatan bulanan sejumlah RM750 untuk menjelaskan sewa rumah RM500 selain membeli barangan dapur.

“Biarpun tidak mampu berkomunikasi dengan lancar selain tidak mampu menyesuaikan diri secara normal dengan persekitaran, saya bangga dengan Kesavan kerana mampu menjadi contoh baik kepada adik-beradiknya yang lain,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Selesa Jaya, Johor Bahru.

Magesvary berkata, bagi Rajeswari, Sarawanan, Krishnan dan Harish, mereka mengambil upah membersihkan rumah kenalan dengan bantuan seorang jiran.

Menurutnya, kebiasaannya mereka akan menawarkan perkhidmatan berkenaan pada hujung minggu atau cuti sekolah dan dipantau jirannya.

Katanya, mereka masih bersekolah termasuk di kelas khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Skudai Baru 2 dan kelas khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Indah.

“Rajeswari dan Sarawanan terpilih sebagai pelajar terbaik kelas pendidikan khas dan kedudukan cemerlang dalam kelas pada tahun lalu.

“Selain rajin mengulang kaji pelajaran, Rajeswari gemar membantu saya melipat pakaian di rumah, manakala Sarawanan pula gemar mengemas rumah selain Krishnan dan Harish yang berkemampuan membersihkan tandas dan ruangan dapur.

“Kemampuan mereka itu membolehkan mereka mencari rezeki dan setiap seorang sekurang-kurangnya membawa pulang upah antara RM10 hingga RM20 selepas menawarkan perkhidmatan membersihkan rumah selama kira-kira lima jam yang digunakan bagi menampung bil utiliti kami,” katanya.

Magesvary berkata, semua anaknya sudah memperoleh kad OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, masalah dialami semua anaknya dikenal pasti dalam tempoh kira-kira 30 bulan pertama selepas dilahirkan.

“Ramai tertanya bagaimana saya memberi penjagaan dan didikan kepada enam anak OKU, namun bagi saya hanya berfikir positif dengan menganggapnya sebagai amanah daripada tuhan.

“Rahsia saya dan suami, S Jagakumar, 44, membentuk anak OKU yang berdikari adalah dengan mencurahkan kasih sayang kepada mereka dan mendidik mereka hidup berdisiplin seperti kanak-kanak normal serta sentiasa memantau pergerakan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 9:45 PM