Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PENOLONG Pegawai Pertanian Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) direman lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa.

Kes berkenaan membabitkan tindakannya melantik isterinya menjalankan kerja penanaman semula pokok getah di Ulu Muar, Kuala Pilah, dekat Seremban, membabitkan nilai bernilai RM18,999.56.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Nurhayatie Mohd Saini sebaik dikemukakan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Riduan Kadri.

Sumber SPRM berkata, lelaki berkenaan dipercayai mencadangkan nama isterinya untuk menjalankan kerja penanaman getah menerusi Skim Bantuan Tanam Semula yang dilaksanakan Risda di atas tanah berkeluasan antara satu hingga dua hektar itu bermula tahun lalu.

"Bertindak atas aduan diterima, pihak SPRM melancarkan Op RISDA dan memanggil suspek ke pejabat. Dia yang memberikan keterangan ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Ramli Ismail dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 12:17 PM