Amin Ridzuan Ishak dan T N Alagesh

CUAI dan sikap tidak acuh pemimpin Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang tidak serius dalam membuat pendaftaran mengikut prosedur menjadi punca kepada pembubaran sementara parti pembangkang itu oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), hari ini.

Ketua Pemuda PPBM Temerloh, Sharipul Fairuz Mohd Sharip berkata pemimpin dan ahli parti itu tidak seharusnya meletakkan kesalahan kepada ROS yang mengeluarkan perintah pembubaran sementara berdasarkan notis mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966.

"Semua ini berpunca akibat kecuaian dan sikap tidak serius pemimpin parti, sekiranya mereka mendakwa tindakan itu bersikap politik bagaimana boleh parti lain diluluskan pendaftarannya.

"Sepatutnya kalau serius hendak daftarkan PPBM mengikut prosedur, ia sudah lama boleh dilakukan, sekarang sudah tentu mereka akan mendakwa tindakan ROS ini bermotifkan politik kerana dibuat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Sikap pemimpin parti yang tidak serius seperti ini membuatkan kami sebagai ahli tidak berpuas hati, malah saya sendiri bersama 100 ahli Pemuda PPBM Temerloh akan bertindak keluar dari parti dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi NSTP, di Kuantan, hari ini.


(Gambar fail) Sharipul (kiri) dan Mohd Asyraf (kanan) bersama AJK menunjukkan surat watikah perlantikan PPBM negeri dalam isu salah tadbir PPBM Pahang. FOTO Zulkepli Osman

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda PPBM Kuantan, Mohd Asyraf Mohd Asri berkata, tindakan ROS itu adalah sesuatu yang sudah boleh dijangka kerana keadaan parti yang tidak terurus sejak ia ditubuhkan.

Katanya, parti itu didominasi oleh pemimpin utama manakala suara ahli di peringkat akar umbi tidak dipedulikan dan pemimpinnya tidak pernah mempedulikan perasaan orang muda malah menghukum mereka yang menyuarakan pendapat masing-masing.

"Saya juga menjadi mangsa apabila membangkitkan isu mengenai hala tuju parti dalam mesyuarat

dan saya beranggapan pemimpin parti ini sudah terpesong jauh daripada perjuangan sebenar sebaliknya menyerang segelintir pihak yang apabila mempersoalkannya.

"Pemimpin juga tidak fokus dengan perjuangan dan suara orang muda dipinggirkan, banyak isu tidak dapat diperjelaskan oleh mereka, malah saya sendiri tidak menerima surat pemecatan. Jadi tindakan ROS ini bukan baharu sebaliknya hanya menunggu untuk meletup," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 5:03 PM