(Gambar fail) Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa melancarkan manifesto pakatan itu yang langsung tidak mengendahkan hal ehwal Islam. FOTO Roslin Mat Tahir
Zanariah Abd Mutalib

AGENDA memartabatkan Islam adalah perkara pertama yang perlu diberi perhatian rakyat dalam memilih kepemimpinan kerajaan negara ini, berbanding perkara lain.

Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdullah Md Zin berkata, agenda berkenaan bagaimanapun tidak langsung disentuh oleh Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mereka, sebaliknya hanya memberikan 'gula-gula' kepada rakyat seperti mahu menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Soal akidah adalah soal utama. Apa erti secangkir susu dan kopi jika dibandingkan dengan soal agama kita dipijak-pijak.

"Sememangnya cukup sukar untuk memberitahu orang kita ini bahawa akidah mestilah diletakkan di nombor satu (dalam memilih kerajaan)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program Halaqah Bicara Wasatiyyah 2018 'Ancaman Pemikiran Liberal Dalam Politik Negara; Satu Pengamatan" anjuran Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) di Putrajaya, hari ini.

Kertas kerja dibentangkan Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Menyentuh mengenai ancaman pemikiran liberal, Abdullah yang juga Pengerusi IWM berkata, aliran pemikiran itu termasuk yang cuba yang disebarkan pemimpin politik perlu dihapuskan kerana mengancam akidah umat dan boleh meruntuhkan Islam.

"Golongan ini mahu meruntuhkan institusi Islam tahap demi tahap, bermula dengan cadangan (memansuhkan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di peringkat Persekutuan untuk diberikan kepada negeri sedangkan ia bercanggah dengan Perlembagaan yang menggariskan Islam sebagai agama Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman dalam pembentangannya menyentuh mengenai usaha menyebar fahaman liberal oleh pemimpin politik pembangkang dan manifesto Pakatan Harapan yang tidak memartabatkan Islam serta menyuburkan pemikiran liberal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 6:59 PM