PEKERJA membuat persiapan menjelang Festival GegaRia 2018 #KitaOK di Dataran Centrio, Seremban 2, Seremban, esok. FOTO Zunnur Al Shafiq
Raja Noraina Raja Rahim


PENAMPILAN selebriti tempatan Negeri Sembilan antara tarikan pengunjung ke Festival GegaRia 2018 #KitaOK di Dataran Centrio, Seremban 2, Seremban, esok.

Festival gaya hidup dan hiburan terunggul anjuran Media Prima Berhad (MPB) itu berjaya merekodkan kira-kira 140,000 pengunjung di lima lokasi diadakan sebelum ini.

Pengurus Projek Khas dan Perkhidmatan Pelanggan Pengiklanan, New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Mohammad Anis Abdullah berkata, edisi keenam Festival GegaRia kali ini dijangka menarik 25,000 pengunjung sehingga kemuncak konsert.

Seperti edisi sebelumnya, beliau berkata, festival ini turut dibahagikan kepada lima zon utama termasuk Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan.

“Bermula seawal jam 8 pagi, orang ramai berpeluang menyertai senaman zumba di pentas utama dikendalikan jurulatih kecergasan, Izzat Zin, iaitu anak tempatan Negeri Sembilan.

“Bagi yang membawa anak kecil, pertandingan mewarna turut diadakan pada pagi dengan penampilan istimewa Ejen Ali.

“Pengunjung turut berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan kesihatan, keluarga, karier, tips kecantikan, fesyen dan kisah kejayaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada panel jemputan terkenal seperti Datin Diana Danielle dan Naz Rahman, Dr Say, Hanif Shaw, Nana Al-Haleq, Elfira Loy, Faizdickie, Wani Kayrie serta pasangan selebriti Scha dan Awal di Zon Gaya Hidup yang dibuka dari 11 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Beliau berkata, siri jelajah itu turut membawakan Izzue Islam, Orkes A Hizadin dan Gerhana Ska Cinta untuk mengadakan persembahan pada petang, selain sesi ramah mesra bersama Reen Rahim, Eyka Farhana dan Bunkface.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 4:14 PM