PENDUDUK Shahnizam Norhazali, 18, menunjukkan kehadiran ulat bulu dalam di PPR Siliau Jaya, Port Dickson, hari ini. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Khairul Najib Asarulah Khan dan Mohd Khidir Zakaria


SERAMAI 62 orang diberi rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Mantin, Seremban kerana gatal pada kulit, beberapa penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Siliau Jaya, Port Dickson turut mengalami gejala sama sejak semalam akibat serangan ulat bulu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) Dr Zainudin Mohd Ali berkata, kejadian berpunca dengan kehadiran ulat bulu yang banyak berikutan musim pembiakan rama-rama.

Katanya, ulat bulu berkenaan kebiasaannya berada di pokok yang berdaun dan jatuh ke tanah atau diterbangkan angin sebelum terkena kepada manusia yang berada di kawasan berhampiran.

“Mereka yang terkena ulat bulu itu akan mengalami kegatalan pada kulit badan manakala mereka yang mempunyai alahan mungkin mempunyai reaksi yang serius seperti susah bernafas.

“Mangsa yang menghidap simptom seperti (sukar bernafas) itu perlu segera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, setakat ini pihaknya mengesan tiga lokasi yang mengalami masalah itu iaitu di Kampung Pantai di Seremban, Sekolah Kebangsaan Pantai, Batu 8 Jalan Jelebu dan Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Seri Perkasa Batu 8, Jalan Seremban, Mantin.

“Pejabat Kesihatan Daerah Seremban juga sudah mengambil tindakan kawalan dengan meracun bagi membunuh serangga kecil di lokasi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PPR Siliau Jaya Fadzir Din, 50, berkata serangan ulat bulu di kawasan terbabit berlaku sejak seminggu lalu dan pelbagai cara dilakukan untuk mengatasinya, tetapi kurang berkesan.

“Kami baru sahaja meracun kawasan sekitar seperti surau, rumah penduduk tetapi hanya dua hari sahaja ia hilang sebelum muncul kembali,” katanya.

Menurutnya, kehadiran serangga itu turut menganggu keselesaan dan menimbulkan kebimbangan penduduk kerana ia membanjiri longkang, malah ada yang masuk ke dalam rumah dan surau.

“Sebenarnya kami tak tahu dari mana ulat bulu ini datang, tetapi ramai penduduk mengalami gatal kulit badan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 4:32 PM