ANGGOTA bomba membawa naik mayat mangsa lemas ketika mandi di sungai Kampung Kibunut, Penampang, hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin
Junaidi Ladjana


KEGEMBIRAAN lima remaja mandi di sungai Kampung Kibunut, Penampang, berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, Nordiana Elesar, 15, dan rakannya dikenali sebagai Dinda, 15, ditemui lemas oleh penduduk kampung dan anggota bomba.

Difahamkan, ketika kejadian, kedua-dua remaja perempuan itu bersama tiga rakan mereka termasuk dua lelaki dipercayai pergi ke sungai di kampung berkenaan untuk mandi.

Ketika berada di tepi sungai, kedua-dua mangsa dikatakan tergelincir lalu terjatuh sebelum rakan mereka yang melihat kejadian itu segera meminta bantuan penduduk dan menghubungi bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zainal @ John Radsung, berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.50 tengah hari sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan bantuan penduduk kampung.

“Tidak lama selepas itu, seorang daripada penduduk menemui kedua-dua mangsa di dasar sungai, tidak jauh dari lokasi mereka dilaporkan hilang pada 3.17 petang.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa, Ema Mulisun, 15, berkata dia melihat kedua-dua rakannya tergelincir dan cuba menarik tangan salah seorang daripada mereka, tetapi gagal.

“Saya melihat tergelincir lalu terjatuh ke kawasan dalam di sungai berkenaan. Ketika itu, saya cuba menarik tangan salah seorang mereka, namun tidak berjaya disebabkan kawasan itu terlalu dalam.

“Saya kemudian meminta bantuan penduduk kampung untuk menyelamatkan mereka.

“Sebelum itu, kami ke sungai itu untuk mandi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 6:16 PM