(Gambar fail) SPR sentiasa memastikan persiapan pilihan raya pada tahap terbaik. Mohd Hashim (kanan) meninjau persiapan di pusat pembuangan undi bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar pada Jun 2016.
Nadia Hamidnnadia
cnews@nstp.com.my

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak akan mengambil masa lama untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ini sekali gus menguatkan desas-desus hari mengundi kemungkinan besar sama ada diadakan pada cuti umum, 1 Mei (Selasa), Sabtu 28 April atau Sabtu, 5 Mei.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah bagaimanapun enggan mengulas mengenai tarikh itu sebaliknya menyatakan bahawa SPR perlu mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum menetapkan tarikh mengundi yang sesuai supaya semua rakyat yang layak dan berdaftar sebagai pemilih boleh keluar mengundi.


(Gambar fail) SPR sentiasa memastikan persiapan pilihan raya pada tahap terbaik. Mohd Hashim (kanan) meninjau persiapan di pusat pembuangan undi bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar pada Jun 2016.

"SPR akan mempertimbangkan tarikh seperti cuti sekolah, hari perayaan, hari raya dan hari yang agak sensitif kepada masyarakat (untuk mengadakan PRU).

"Mengikut pengalaman mengendalikan PRU sebelum ini, kita pernah mengadakan PRU pada hari minggu, hari bekerja dan hari mengundi ketika bulan puasa.

"Walaupun tarikh sedemikian, tiada satu tarikh luar biasa untuk SPR menetapkan hari mengundi," katanya kepada NSTP di Putrajaya.

Beliau mengulas andaian pelbagai pihak yang teruja dan terus membuat spekulasi bila tarikh PRU akan diadakan sehinggalah SPR mengumumkan tarikh rasmi.

Mohd Hashim tidak menolak andaian banyak spekulasi dibuat mengikut perkiraan masing-masing misalnya, PRU dilaksanakan pada Ogos, umpamanya, kerana mengambil kira tarikh Parlimen terbubar secara automatik. Katanya, ia susulan dalam sistem pilihan raya di negara kita, sebaik Parlimen dibubarkan, tugas dan tanggungjawab SPR adalah untuk mengaturkan PRU.

"SPR diberi tempoh dalam 60 hari untuk mengadakan pilihan raya.

"SPR akan mengadakan satu mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh penting.

"Pertama, tarikh keluar writ dan yang kedua adalah bila tarikh penting seperti hari penamaan calon, untuk pengundian awal serta menetapkan tarikh mengundi," katanya.

Untuk itu, Mohd Hashim berkata SPR akan menimbangkan tarikh yang sesuai mengadakan PRU berdasarkan keadaan yang sesuai tetapi dalam ruang lingkup masa yang ditetapkan kepada SPR untuk menjalankan tanggungjawabnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 7:58 PM