FOTO hiasan
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@nstp.com.my


ANGGOTA sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor ditahan selepas disyaki terbabit menjual sijil cuti sakit (MC) palsu menggunakan nama hospital kerajaan di sebuah stesen minyak di Batu 3, Shah Alam, Rabu lalu.

Suspek, 32, ditahan Pasukan Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Subang Jaya pada 10.30 malam susulan penahanan seorang lelaki sebelum itu membabitkan sindiket sama.

Sumber berkata, pihak polis yang melakukan intipan menunggu hampir satu jam sebelum ternampak Proton Wira memasuki kawasan stesen minyak berkenaan.

Menurutnya, suspek cuba melarikan diri dengan kenderaannya sebaik anggota polis memperkenalkan diri, namun berjaya ditahan untuk pemeriksaan.

“Pihak polis yang melakukan pemeriksaan menemui sekeping sijil cuti sakit dipercayai palsu daripada tangan saspek.

“Pemeriksaan identiti mendapati suspek adalah anggota polis. Turut dirampas ialah sebuah telefon bimbit yang digunakan suspek untuk urusan menjual sijil cuti sakit hospital kerajaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut dalam kereta yang dinaiki menemui satu beg warna hitam yang mengandungi 101 sijil sakit pelbagai nombor siri dari pelbagai hospital dan klinik kerajaan yang disyaki palsu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari mengesahkan tangkapan, berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 5:36 PM