Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI maut, manakala 13 individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan lori di Kilometer 30.9 Lebuhraya Karak berhampiran Selayang, hari ini.

Dalam kejadian pada 3 petang, mangsa yang cedera membabitkan 12 penumpang termasuk pemandu dan pelayan penumpang bas.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.30 petang.

“Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati seorang lelaki warga Singapura maut, manakala tiga lagi mangsa tersepit, selain 10 mangsa cedera ringan," katanya ketika dihubungi.

ANGGOTA APM memberikan rawatan awal kepada mangsa kemalangan di Kilometer 30.9 Lebuhraya Karak, Selayang, hari ini. FOTO Ihsan APM

Katanya, semua 14 mangsa terbabit terdiri 12 warga Singapura termasuk 10 wanita dan dua warga tempatan.

“Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," katanya.

Difahamkan, beberapa anggota paramedik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut berada di lokasi kejadian bagi memberi rawatan awal kepada mangsa.

Tiga ambulans APM bertindak manghantar mangsa cedera ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 7:03 PM