Ahmad Zahid (kiri) bersama Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan (kanan) sebelum bermesyuarat bersama pegawai polis negeri. Danial Saad
Audrey Dermawan

KEMENTERIAN Dalam Negeri memaklumkan belum menerima permohonan rayuan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhubung perintah pembubaran sementara yang dikeluarkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya maklum mengenai hasrat PPBM untuk mengemukakan rayuan berhubung perintah itu, bagaimanapun masih belum menerima sebarang permohonan mengenainya.

"Saya ada baca mengenainya bagaimanapun tidak menerima sebarang permohonan daripada mereka lagi," kata beliau yang juga Menteri Dalam Negeri pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Semalam, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan akan mengemukakan rayuan berhubung perintah ROS yang membubarkan sementara parti itu kepada Ahmad Zahid.

Dr Mahathir dilapor berkata, pihaknya akan memfailkan tindakan undang-undang, sekiranya Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri enggan membantu menyelesaikan masalah terbabit.

Khamis lalu, RoS mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM, berdasarkan notis mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 dan memperuntukkan tempoh 30 hari untuk menghantar dokumen diperlukan sebelum pendaftaran parti itu dibatalkan.

Pada 28 Februari lalu, notis statutori mengikut Seksyen 14 (2) dikeluarkan ROS merujuk kepada perkara supaya PPBM mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO turut mengalu-alukan pendirian pakatan pembangkang menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 7:15 PM