Khairy (tengah) bersama kepimpinan tertinggi BN Pulau Pinang dan pemuda melaungkan Bridged Gerak Gempur Pemuda Barisan Nasional Pulau Pinang di MidTown Perda Tasek Gelugor, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
Shamsul Munir Safini

“PERTAHANKAN tiga kerusi Parlimen sedia ada dan rampas dua lagi daripada pembangkang,” demikian laungan semangat Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin kepada ribuan ahli sayap itu dekat Tasek Gelugor, di Kepala Batas, hari ini.

Katanya, sayap Pemuda bagi parti komponen BN sudah menjalankan gerak kerja sejak awal lagi dan yakin kemenangan akan berpihak kepada parti itu.

“Di Pulau Pinang Pemuda UMNO sudah lama berada dalam keadaan siap sedia dan akan menggandakan usaha ke peringkat akhir sebaik pengumuman dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“UMNO juga akan membantu rakan dari parti komponen lain seperti MCA, MIC dan GERAKAN bagi menjamin kemenangan BN,” katanya selepas melancarkan Briged Gempur Pemuda BN.

Selain itu Khairy mendakwa kecewa dengan layanan diberikan Kerajaan DAP Pulau Pinang kepada golongan muda di negeri ini.

“Ia termasuk tidak memberikan tumpuan kepada projek rumah mampu milik kepada golongan muda, bahkan tiada dana diperuntukkan dan diberikan kepada golongan usahawan muda,” katanya.

Katanya, Kerajaan DAP Pulau Pinang mendabik dada kononnya pandai menguruskan kewangan, ada rizab dan sebagainya namun realiti pentadbiran mereka adalah sebaliknya.

Menurutnya, BN sentiasa melihat aspirasi orang muda serta membantu kesusahan dihadapi golongan itu, sekali gus diharap dapat diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Mengenai ‘Tsunami Melayu’ yang cuba diwujudkan pembangkang, beliau berkata, perkara itu dijaja sehingga ia menjadi realiti.

“Kita tidak boleh mempercayai sentimen yang cuba dimainkan mereka kerana saya percaya pengundi Melayu masih bersama UMNO dan BN.

“Menerusi kajian dalaman yang dibuat UMNO, sebahagian besar pengundi Melayu masih bersama kerajaan,” katanya.

Khairy berkata, DAP juga sanggup bertanding menggunakan lambang PKR kerana merasakan ia lebih mudah mendapat penerimaan pengundi Melayu berbanding logo roket.

“Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengetepikan prinsipnya apabila bertanding di bawah parti yang ditubuhkan bagi menentangnya, kedua-dua pihak mengetepikan prinsip masing-masing.

“Mereka berjuang kuasa, saya sama sekali tidak boleh menyokong sebuah pakatan yang ditubuhkan atas keinginan kuasa dan sanggup mengetepikan prinsip asal mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 8:25 PM