ANGGOTA bomba menaikkan tiang rumah milik Kalsom Basir sempena program Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS7) di Tebuk Montel Selatan, Bagan Nakhoda Omar (BNO). FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


ENAM bulan menyewa disebabkan rumah terbakar, suami isteri warga emas akhirnya dapat mendiami rumah baharu apabila kediaman itu siap dalam tempoh sebulan lagi.

Pasangan itu menerima rumah bantuan Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kalsom Basir, 72, berkata, dia dan suaminya Idris Hamidun, 77, terpaksa tinggal menyewa disebabkan rumah mereka di di Jalan Motel, Simpang Empat Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sabak Bernam, hangus terbakar, 27 Oktober tahun lalu.

“Tak sangka kami menerima rumah baharu. Dari jauh kamu semua datang semata-mata untuk membantu mak cik sekeluarga. Terima kasih banyak-banyak.

“Walaupun kebakaran itu berlaku tahun lalu, ia tidak mematahkan semangat mak cik untuk membina semula kehidupan di sini bersama insan tersayang,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh menyampaikan bantuan rumah berkenaan kepada Kalsom yang turut ditemani anaknya, Kamarul Arifin Abdullah, 46.

Kalsom juga bersyukur kerana rumah dibina di atas tapak rumahnya yang lama dan lebih gembira apabila ia siap menjelang Aidilfitri.

“Jika siap seperti dirancang, dapatlah mak cik sekeluarga berkumpul di sini raya nanti,” katanya yang mempunyai lapan anak.

Pada masa sama, Kalsom berterima kasih kerana sewa rumahnya di pekan BNO ditanggung kerajaan sebanyak RM400 sebulan.

Sementara itu, Mohd Fasiah berkata, rumah dibina anggota bomba itu merangkumi tiga bilik dan satu bilik air dengan keluasan 600 kaki persegi (55.74 meter persegi).

“Ia membabitkan peruntukan RM45,000 hingga RM50,000, dan membuktikan Kerajaan Persekutuan mengotakan janji dan mengambil berat isu rakyat terutama di luar bandar,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan pasangan itu tinggal sehelai sepinggang apabila rumah dua tingkat milik mereka yang didiami sejak 30 tahun musnah dalam kebakaran.

Ketika kejadian jam 6.30 petang itu, Kalsom dan Idris tiada di rumah kerana keluar ke pekan Sungai Besar membeli barang keperluan.

Anggota bomba menaikkan tiang rumah milik Kalsom Basir sempena program Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS7) di Tebuk Montel Selatan, Bagan Nakhoda Omar (BNO). STR/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 3:13 PM