X
BOT gentian kaca dinaiki Azlim terbalik selepas dipukul ombak di muara sungai Merchang. Gambar kecil, Azlim. FOTO Imran Makhzan
BOT gentian kaca dinaiki Azlim terbalik selepas dipukul ombak di muara sungai Merchang. Gambar kecil, Azlim. FOTO Imran Makhzan
Zatul Iffah Zolkiply dan Fitri Nizam


“SAYA sempat sediakan kopi O dan roti sebagai bekalan untuk arwah mengalas perut di laut dan tidak sangka itu kali terakhir saya dapat berbuat demikian untuknya,” kata Rosdiana Mohamad.

Rosdiana, 42, adalah isteri kepada Azlim Mohd Noor, 42, yang lemas akibat bot dinaikinya terbalik di muara sungai Merchang, Marang, 7.30 pagi tadi.

Menurutnya, arwah suaminya itu yang bekerja sebagai nelayan sepenuh masa tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik dan sebelum keluar ke laut petang semalam, dia memberitahu mahu mencandat sotong.

“Kami sekeluarga tidak mengesyaki apa-apa walaupun dia sudah enam bulan tidak mencandat sotong, sebelum terkejut menerima berita tragedi menimpanya pada 8 pagi tadi menerusi bapa saya.

“Bapa telefon maklumkan kejadian malang menimpa suami. Saya kemudian meminta bantuan orang kampung untuk menghantar saya ke Klinik Kesihatan Gong Balai, Merchang.

“Sebaik tiba doktor memaklumkan suami sudah tiada. Saya sempat menatap wajah suami selama 20 minit sebelum mayatnya dibawa ke sini (HSNZ) untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, hari ini.

Rosdiana berkata, dia mengenai suaminya itu sejak bersekolah rendah dan kehilangan Allahyarham memberi tamparan buatnya dan tiga anak berusia tujuh hingga 16 tahun.

Sementara itu, naluri tiga lelaki termasuk dua beradik yang tidak sedap hati selepas melihat bot dinaiki abang mereka terbalik di muara Sungai Merchang, bertukar duka apabila mereka sendiri menaikkan mayat insan tersayang.

Dua beradik itu bersama seorang adik ipar nekad terjun meredah ombak kuat di muara pantai itu selepas ternampak bot dinaiki abang mereka terbalik akibat dipukul ombak kuat.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, Azlim ditemui lemas manakala rakannya dikenali Zamri berusia 20-an kini dirawat di HSNZ.

Adik mangsa, Azwan Al Hafiz, 24, berkata dia berada di rumahnya sebelum didatangi penduduk kampung yang memaklumkan bot dinaiki abang dan rakannya terbalik.

“Sebaik sampai di tepi pantai, saya nampak bot abang dan keadaan laut agak bergelora sebelum ternampak satu objek terapung pada jarak 15 meter dari pantai.

“Ketika itu, terdetik di hati saya itu mungkin abang, sebelum saya bersama seorang lagi abang, Azri, 30, dan adik ipar, Mohd Fizdaus Che Embong, 29, nekad terjun dan berenang menghampiri objek itu dan ia memang abang kami.

“Sebaik berjaya memegang badannya yang berada dalam keadaan tertiarap, luluh hati kami melihat wajahnya sebelum segera membawanya ke pantai.

"Ketika itu, abang tidak memberikan sebarang tindak balas sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang dan kemudian dirujuk ke Unit Forensik HSNZ untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mereka di Kampung Gong Balai, Marang.

Menurut Azwan, abangnya yang bekerja sebagai nelayan keluar ke laut bersama rakannya pada 6.30 petang semalam untuk mencandat sotong.

“Kali terakhir saya bercakap saya dengan abang pada 11.30 malam melalui telefon dan memintanya supaya berhati-hati kerana hujan.

“Ketika itu, abang memaklumkan dia baru menaikkan beberapa sotong,” katanya.

Seorang lagi adik mangsa, Azniza, 32, berkata, dia tidak menyangka tindakan arwah yang enggan membawanya mencandat bersama petanda dia akan meninggalkan mereka sekeluarga.

“Saya ada menghubungi abang pada 4.30 petang semalam kerana mahu ikut dia keluar mencandat, tetapi dia berkeras tidak bagi ikut dengan alasan ombak sangat kuat,” kata anak keenam daripada 11 beradik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 5:35 PM