IBRAHIM maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh lori di simpang empat Kilometer 6.5 Jalan Machang-Tanah Merah dekat Wakaf Bata, Machang, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Siti Nadzirah Che Mud


WARGA emas maut manakala cucunya cedera selepas motosikal mereka dirempuh sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 6.5, Jalan Machang-Tanah Merah, dekat Wakaf Bata, Machang, hari ini.

Ibrahim Mohamed, 79, dari Kampung Paloh Rawa meninggal dunia di tempat kejadian dalam kejadian 12.40 tengah hari itu.

Manakala cucunya, Ahmad Irfan Mohamed Alwi, 21, yang membonceng motosikal itu luka di bahagian muka dan badan manakala pemandu lori, Mohamad Affendi Mustapha, 26, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Dzulkifli An Ghani, kejadian di simpang empat lampu isyarat itu berlaku ketika mangsa dari arah Tanah Merah ingin memasuki simpang ke Jalan Pangkal Meleret sebelum dirempuh lori dari arah Machang.

“Siasatan awal mendapati pemandu lori terbabit melanggar lampu isyarat merah lalu merempuh motosikal Honda EX5 ditunggang mangsa.

“Susulan kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Machang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu lori berkenaan adalah negatif.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 5:50 PM