MOHD Fadzil duduk di atas motosikal dimenanginya pada Program Cabaran Servis 1,000 Motosikal di Arena Square Batu Gajah, Batu Gajah, hari ini. FOTO Razif Rosli


MINAT terhadap motosikal dan dunia permotoran membawa tuah kepada Mohd Fadzil Kamarudin, 29, apabila membawa pulang motosikal Yamaha Y15ZR selepas menyertai Program Cabaran Servis 1,000 Motosikal di Arena Square Batu Gajah, Batu Gajah, hari ini.

Rezeki nyata memihak kepada Mohd Fadzil apabila memenangi hadiah utama cabutan bertuah diadakan sempena program itu.

Menurutnya, dia tidak menyangka akan mendapat hadiah motosikal berkenaan kerana tidak pernah memenangi sebarang cabutan bertuah disertainya sebelum ini.

“Saya dapat tahu ada program tukar minyak pelincir percuma dan kebetulan ada pula cabutan bertuah, ramai yang turut serta hari ini dan tak sangka saya menang hadiah utama.

“Terima kasih kepada pihak penganjur yang mengadakan cabutan bertuah ini," katanya selepas menerima motosikal itu daripada Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Mohd Kassim.

Seramai 1,000 penunggang motosikal memperoleh perkhidmatan tukar minyak pelincir percuma bertujuan meringankan beban, sekali gus mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.

Program dianjurkan UMNO Bahagian Gopeng bersama Kelab Sukan dan Rekreasi dan Komuniti Parlimen Gopeng itu turut mendapat kerjasama daripada 60 pelatih GiatMara seluruh negeri.

Sementara itu, Hamzah berkata, program itu julung kali diadakan di Parlimen Gopeng membabitkan golongan belia berumur 18 hingga 40 tahun.

“Alhamdulillah, berkat sokongan semua pihak, ia berjaya direalisasikan walaupun kita hanya membuat persiapan tidak sampai seminggu dari tarikh program.

“Menerusi program sebegini, kita berpeluang mendekati dan memahami golongan remaja dan belia serta dapat membantu menjauhkan mereka daripada kegiatan tidak berfaedah seperti merempit dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 8:26 PM