TMJ menegaskan tidak menyebelahi mana-mana pihak dan tidak menyokong sesiapa.


TUNKU Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan beliau memberi pendapat secara ikhlas yang difikirkan terbaik untuk Johor dan pendapat peribadinya selaras dengan kedudukannya, selain tidak menyebelahi mana-mana parti politik atau individu.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai membaca pendapatnya betul-betul dan memahaminya terlebih dahulu, bukannya terus ‘breakdance’ (melatah atau membuat andaian sendiri).

“Bila saya memikirkan tentang sesuatu, saya akan memikirkan apa yang terbaik untuk Johor dan saya tidak akan membiarkan emosi saya mengganggu pendapat saya, tetapi apa pun, orang ramai berhak untuk memberikan pandangan mereka sendiri. Mereka berhak untuk menyokong sesiapa mereka mahu dan berhak untuk mempunyai pendapat masing-masing.

“Itu hak semua orang. Saya tetap berpegang walau sesiapa pun akan menjadi ketua dalam negara, beliau bukan berkhidmat untuk ideologi parti, tetapi perlu berkhidmat kepada rakyat. Keutamaan pertama adalah rakyat.

“Apa-apa kenyataan saya bagi semalam, itu adalah pandangan peribadi saya tetapi rakyat berhak untuk memilih apa terbaik untuk masing-masing. Di Johor lain, anda perlu faham bahawa di Johor lain, kami mempunyai cara kami tersendiri.

“Oleh itu, janganlah terbawa pengaruh dari luar masuk ke Johor, manakala yang di luar sana, jagalah negeri masing-masing dan negara,” katanya dalam dalam kenyataan dimuat naik dalam laman rasmi Johor Southern Tigers, malam ini.

Malam tadi, TMJ memuat naik kenyataan supaya rakyat negara ini membuka mata dan jangan tertipu dengan apa dikatakan individu berusia 93 tahun yang ingin menjadi Perdana Menteri.

Tunku Ismail mahu rakyat jangan tertipu, buka mata, menggunakan akal fikiran dan mengikut bayangan akan baginda berikan kerana baginda tahu apa rakyat tidak tahu.

TMJ menegaskan Johor tidak akan pernah lupa kepada individu yang ingin membubarkan Angkatan Setia Negeri Johor (JMF) yang wujud sejak 1886 dan berangan mahu menarik kuasa Sultan Johor yang memerintah serta memperkecilkan perlembagaan negeri Johor yang wujud sebelum adanya negara bernama Malaysia.

Dalam entri terbarunya dimuat naik pada 7.15 malam ini, Tunku Ismail berkata, itu adalah pandangan ikhlas beliau dan rakyat berhak untuk memilih apa sahaja, tetapi mereka perlu ingat bahawa orang dipilih mesti berkhidmat dan memberi keutamaan kepada rakyatnya, bukannya kepada agenda peribadi.

“Pandangan saya adalah untuk Johor. Apa jua saya fikir dan apa saya buat adalah demi rakyat Johor. Pada saya, rakyat Johor yakin dengan kepemimpinan Tuanku Sultan Johor.

“Saya dilahirkan untuk menjaga Johor. Jadi, itu adalah tanggungjawab saya. Saya tidak cakap saya sokong Tun Mahathir, Datuk Seri Najib atau sokong mana-mana pihak. Saya jenis berterus-terang. Sebelum ini ada kesalahan dilakukan Najib, saya tegur dan apabila Tun Mahathir ada isu, pun saya tegur.

“Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak dan tidak menyokong sesiapa. Saya hanya tidak bersetuju apabila sesetengah individu pernah ada krisis dengan negeri Johor cuba mengambil negeri Johor! Kerana ini negeri saya. Negeri yang ayahanda saya dan datuk moyang kami menegakkannya apabila berlaku sebarang krisis. Takkan begitu mudah rakyat lupakan krisis itu?

“Walaubagaimanapun, Perlembagaan Johor dan institusi Johor perlu dikekalkan dan kedaulatan serta kesejahteraan Johor mesti menjadi keutamaan. Takkan itu pun amat susah untuk difahami?,” katanya.

Tunku Ismail berkata, orang lain hendak menyokong sesiapa itu terpulang kepada mereka, sebaliknya apa jua urusan dalam Johor menjadi urusan beliau dengan dengan rakyat negeri ini dan tidak mahu orang lain masuk campur dan bersuara, malah hasil pemerhatiannya mendapati mereka yang masuk campur itu adalah orang luar dari Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 9:34 PM