Beberapa pekerja melakukan kerja projek ECRL di Tunjong.
HM Digital

Kota Bharu: Badan bukan kerajaan (NGO) di Kelantan menyifatkan manifesto yang diumumkan Barisan Nasional (BN) malam kelmarin adalah terbaik dan dirangka untuk memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Azmi Ali berkata, pengumuman untuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan dan mempercepatkan pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Gua Musang adalah satu rahmat untuk rakyat Kelantan menikmati kemudahan itu.

Menurutnya, projek mega itu paling yang dinantikan rakyat negeri itu memandangkan Kelantan tidak mempunyai pelabuhan besar untuk menghantar barangan dagangan.

“Penambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga nikmat untuk rakyat terutama di Kelantan ini, ramai yang memerlukan dan dibebani kos sara hidup meningkat.

“Justeru, bagi membolehkan BN meneruskan apa yang dirancangkan dalam manifestonya, menjadi kewajipan kepada rakyat terutama Kelantan untuk beri sokongan supaya apa yang dijanjikan dapat direalisasikan.

“Ini adalah peluang terbaik jika mahukan Kelantan maju kerana apa saja masalah yang dihadapi rakyat negeri ini terutama isu bekalan air, ia dapat diselesaikan BN,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Ketua Gerakan Tadbir Kelantan Demi Masa Depan (TEKAD), Fikran Hamshi Mohamad Fatmi melihat manifesto yang diumumkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak itu menyentuh semua lapisan masyarakat daripada bayi hingga warga emas.

“Ini bukti Najib begitu teliti dalam membuat perancangan kepada pembangunan negara tanpa mengabaikan kebajikan semua lapisan masyarakat.

“Saya kagum dengan pengumuman subsidi yang diumumkan dan diberikan kepada mereka yang layak sahaja.

“Berbeza dengan manifesto pembangkang yang mahu mansuhkan cukai GST, tetapi tidak diberitahu daripada mana sumber kewangan yang akan diperoleh untuk lakukan pembangunan sebagai menggantikan cukai itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 10:52 AM