Sultan Nazrin bertitah pada majlis menzahirkan pembubaran DUN Perak ke-13. FOTO Abdullah Yusof
Jalal Ali Abd Rahim; Shamsul Kamal Amarudin dan Zahratulhayat Mat Arif

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah meminta rakyat mempamerkan kebijaksanaan berpolitik dengan mengamalkan budaya demokrasi matang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini dengan mengambil kira pengalaman 13 kali PRU yang diadakan sebelum ini.

Baginda bertitah, parti politik terutama barisan kepemimpinannya harus mencerminkan sifat penuh bertanggungjawab, mengutamakan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan perpaduan rakyat pada setiap masa.

“Dalam hasrat dan usaha mahu mendapatkan sokongan pengundi, isu sensitif menyentuh agama, kaum, budaya dan bahasa, yang boleh menjejaskan hubungan harmoni dan perpaduan, hendaklah tidak disensasikan hingga ke peringkat berpotensi mencetuskan sentimen permusuhan dan rasa kebencian di antara warga.

“Pada setiap masa, wajib dipelihara dan wajib dipastikan, tidak diucap sebarang perkataan, dan tidak dilakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan persengketaan di antara warga,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Menzahirkan Pengumuman Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-13 di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar sebentar tadi.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah serta Raja Bergelar.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; barisan Exco kerajaan negeri serta pegawai kanan kerajaan.

Sultan Nazrin bertitah, keselamatan negara dan ketenteraman awam terlalu berharga untuk dikorbankan disebabkan matlamat politik jangka pendek.

Baginda bertitah, semua pihak jangan menambahkan lagi bebanan serta menyukarkan tugas pasukan keselamatan dengan mencetuskan perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Titah baginda, pihak penguatkuasaan undang-undang pula perlu mengambil tindakan tegas dan pantas terhadap sebarang perbuatan daripada mana-mana pihak yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Integriti pihak penguatkuasaan undang-undang hendaklah dipelihara dengan mempamerkan amalan penguatkuasaan berlandaskan undang-undang secara adil dan saksama, yang tidak memihak dan tidak mempamerkan sikap partisan kepada mana-mana kumpulan, dan berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada raja dan negara,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, pilihan raya adalah satu proses yang memberi hak dan peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan dan wajib dihormati, dihargai dan tidak dinafikan.

Baginda bertitah, demi memastikan kelangsungan pilihan raya yang tidak dipertikaikan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus melaksanakan tugas secara profesional, telus dan berintegriti.

Pada masa sama, titah baginda, semua pihak wajib memberikan kerjasama untuk membolehkan SPR melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebaik mungkin.

Sultan Nazrin turut menitipkan pesanan dengan memetik ayat al-Quran berhubung nasihat Nabi Musa kepada kaumnya seperti yang terkandung dalam ayat 128 Surat Al A’raaf yang bermaksud:

“Musa berkata kepada kaumnya: Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah; sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah; diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya daripada hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.”

end.

From: Jalal Ali

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 4:53 PM