GAMBAR Hiasan
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


BERANG dituduh mencuri telefon bimbit, seorang lelaki naik angin sebelum mengamuk hingga menetak dua lelaki termasuk menantunya dalam kejadian di Kampung Biah Tengah, Keningau, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, mangsa berusia 24 tahun luka di bahu kiri dan belakang manakala menantu suspek berusia 20-an cedera jari tengah dan manis dan menerima enam jahitan.

Menurut sumber, ketika kejadian suspek dikatakan menghadiri majlis sambutan hari keluarga di rumah abangnya dan ketika majlis berlangsung, berlaku salah faham apabila suspek dituduh mencuri telefon bimbit milik anak saudaranya.

"Bagaimanapun tidak lama selepas itu, telefon bimbit itu ditemui sehingga menyebabkan suspek berang lalu pulang ke rumah sebelum kembali ke rumah abangnya sambil membawa sebilah parang," katanya di sini, hari ini.

Sumber berkata, suspek kemudian cuba menyerang seorang daripada pengunjung dengan parang tetapi sempat dielak.

"Menantu suspek kemudian cuba meleraikan kekecohan, namun suspek terus melibas parang hingga jari tengah dan jari manis mangsa cedera. Seorang daripada pengunjung turut cedera dalam kejadian itu," katanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan suspek sudah ditahan dan polis turut merampas sebilah parang disyaki digunakannya dalam kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 5:50 PM