GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


WANITA yang juga ahli sindiket ‘Macau Scam’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, atas lima tuduhan menyimpan wang hasil curi berjumlah RM11,980.

Tertuduh, Noor Ashikin Mohd Salleh, 39, dari Kedah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan pertama, Noor Ashikin didakwa menyimpan wang curi milik, Sharifah Patimah Mulaini Syed Abdullah, 39, berjumlah RM1,280 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya di sebuah bank di Jalan Sultan Ismail, di Kuala Terengganu, 3.39 petang, pada 21 Disember 2017.

Tertuduh didakwa mengulangi kesalahan sama membabitkan wang sebanyak RM2,700 dan RM3,000 masing-masing pada 5.52 petang dan 7.58 malam, pada hari dan lokasi sama.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa menyimpan wang curi berjumlah RM2,000 milik mangsa di sebuah stesen minyak di Pekan Bukit Payong, Marang, 10.43 malam, hari sama.

Tertuduh sekali lagi mengulangi perbuatan sama dengan mengambil wang RM3,000 milik mangsa di sebuah bank di Jalan Sultan Ismail, di sini, jam 8.57 malam pada 22 Disember 2017.

Bagi setiap pertuduhan, wanita itu didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Abdul Hayyi menetapkan 23 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 6:01 PM