LAPORAN portal berita Harian Metro pada 4 April lalu.
Mary Victoria Dass


NASIB keluarga yang memiliki enam cahaya mata orang kurang upaya (OKU) termasuk lima daripadanya bermasalah autisme mendapat perhatian.

Terbaru, Pasaraya Econsave Cash And Carry menerusi Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Selatan Mas Imran Adam tampil menyampaikan sumbangan barangan dapur dan keperluan bernilai RM1,000 kepada keluarga berkenaan.

Mas Imran berkata, antara barangan disumbangkan termasuk bekalan makanan basah dan kering, susu tepung, minyak, beras, bantal, mesin pengisar makanan dan kipas.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan bertujuan meringankan beban keluarga itu yang memiliki enam anak OKU termasuk seorang daripadanya mengalami kecacatan anggota badan.

“Kami difahamkan mereka bergantung sepenuhnya kepada pendapatan ketua keluarga yang bekerja di bengkel lori. Kunjungan kami dan sumbangan disampaikan antara tanggungjawab sosial korporat syarikat bagi membantu komuniti kurang bernasib baik.

“Kami mengenal pasti keluarga berkenaan menerusi kisah yang tular di media sosial selepas paparan di portal berita Harian Metro dam Facebook (FB) baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, M Magesvary, 42, berkata, dia dan suaminya, S Jagakumar bersyukur dengan sumbangan diterima dan keprihatinan ramai.

Menurutnya, kunjungan wakil Pasaraya Econsave serta kumpulan sukarelawan secara tidak langsung meningkatkan semangatnya dan suami bagi terus memberi penjagaan terbaik kepada anak istimewa mereka.

“Ini adalah rezeki anak saya dan pada hari ini mereka kelihatan lebih ceria dan gembira. Saya berterima kasih kepada Pasaraya Econsave selain kumpulan sukarelawan yang turut menunjukkan keprihatinan terhadap kami,” katanya.

Pada 4 April lalu, portal berita Harian Metro memaparkan kisah lima beradik bermasalah autisme yang sanggup mencari pendapatan tambahan bagi keluarga dengan bekerja sambilan di pusat mencuci kereta dan mengambil upah membersih rumah kenalan.

Anak sulung keluarga itu, J Kesavan, 20 dan empat adiknya mengalami masalah autisme termasuk Rajeswari, 17; Sarawanan, 17,Krishnan, 15 Harish, 12.

Anak bongsu keluarga berkenaan, Prithipraj, 9, adalah OKU fizikal kerana cacat kedua-dua belah tangan manakala hanya anak kelima, Prabu, 14, dilahirkan normal.

Selain Kesavan, adik beradiknya yang OKU masih bersekolah termasuk di kelas khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Skudai Baru 2 dan kelas khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Indah.

Mereka adalah pelajar cemerlang di sekolah masing-masing.

Berita berkaitan

'Sisi positif lima beradik autisme'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 8:02 PM