ANGGOTA polis mengiringi Noor Shakila yang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menipu pelanggannya di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA polis mengiringi Noor Shakila yang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menipu pelanggannya di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
Sarah Zulkifli


PEMILIK butik beg tangan mewah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang, hari ini atas dua pertuduhan menipu membabitkan pembelian dua beg tangan berjenama Christian Dior dan Chanel yang keseluruhannya berharga RM17,500.

Bagaimanapun, tertuduh Noor Shakila Shaari, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.

Tertuduh yang memakai baju-T berwarna kelabu dilihat tenang sepanjang prosiding berjalan.

Noor Shakila yang juga menjual beg dalam talian itu didakwa menipu Candice Ng Wei Lynn, 28, dan memperdayakannya untuk memasukkan wang RM9,000 ke dalam akaun bank milik tertuduh bagi satu transaksi penjualan beg tangan jenama Chanel yang tidak wujud.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Cheras Perdana, Batu 9 Cheras antara 30 Ogos hingga 5 September tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa atas kesalahan sama iaitu memperdayakan Yeoh Cheong Ai, 39, untuk memasukkan wang berjumlah RM8,500 ke dalam banknya bagi satu transaksi penjualan beg tangan jenama Christian Dior yang tidak wujud.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah, Cassia West Goodview Height, Jalan Goodview 5, Hulu Langat pada 14 Ogos dan 27 Oktober tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya R Siamalah mencadangkan jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-kedua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam V Premshangar yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya memberi kerjasama dengan pihak polis berhubung siasatan kes itu.

“Kes ini tiada kemungkinan tertuduh mengganggu keterangan saksi-saksi dan tertuduh tidak mungkin akan meninggalkan negara ini selain ibu bapanya hadir untuk menjaminnya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi kedua-dua pertuduhan. Tertuduh membayar jaminan itu.

Tarikh 11 Mei ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Baru-baru ini, tular di media sosial membabitkan penipuan dilakukan oleh tertuduh yang menjual beg tangan tiruan dengan harga ribuan ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 5:27 PM