Skip this ad x
CERMIN kereta yang dipecahkan semeblum asid disimbah kepada wanita berhampiran SMK Raja Jumaat. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

WANITA cedera disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika berhenti di lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Jumaat, Port Dickson, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa berusia 40-an yang juga kakitangan syarikat petroleum dikatakan memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam perjalanan dari arah Lukut menghala ke bandar Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, ketika berhenti di lampu isyarat berkenaan, muncul dua lelaki menunggang motosikal dari sebelah kanan.

Katanya, seorang daripada lelaki terbabit memecahkan cermin sebelah pemandu dipercayai menggunakan objek keras dan menyimbah cecair ke arah mangsa.

“Kedua-dua suspek memecut motosikal meninggalkan lokasi kejadian dan orang ramai yang menyaksikan kejadian membantu mangsa yang mengalami kecederaan.

“Akibat kejadian itu, mangsa melecur di pipi, kedua-dua lengan, paha, perut dan betis serta dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, lelaki berusia 30-an dipercayai rakan sekerja mangsa yang turut berada dalam kenderaan itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Zainudin berkata, siasatan awal dan temubual ke atas mangsa mendapati dia tidak tahu siapa suspek dan mendakwa tidak mempunyai musuh yang disyaki.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 2:07 PM