MOHAMAD (tengah) diiringi Abdul Mutalib (empat kiri) melihat replika model perumahan PR1MA yang dilancarkan pada Ekspo Jualan Perumahan Edisi Negeri Sembilan di Dewan Majlis Perbandaran Negeri Sembilan, Seremban, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
MOHAMAD (tengah) diiringi Abdul Mutalib (empat kiri) melihat replika model perumahan PR1MA yang dilancarkan pada Ekspo Jualan Perumahan Edisi Negeri Sembilan di Dewan Majlis Perbandaran Negeri Sembilan, Seremban, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Ifwan Tun Tuah


SEBANYAK 21,000 unit kediaman termasuk 17,000 rumah mampu milik ditawarkan di Ekspo Jualan Perumahan-Ke Arah Sejuta Impian, Alami Gaya Hidup Sejahtera yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Seremban bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, sejumlah 84 peratus daripada keseluruhan rumah yang ditawarkan berharga RM300,000 ke bawah itu disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40).

“Rumah PR1MA bukan rumah kos rendah, sebaliknya rumah yang dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran. Rumah seperti ini membuktikan komitmen kerajaan untuk memberi peluang kepada golongan B40 dan M40 memiliki kediaman sendiri.

“Sehingga kini, kami menerima sebanyak 70,000 pendaftaran bagi projek rumah mampu milik PR1MA di Negeri Sembilan, sekali gus menandakan pemintaan yang tinggi. Kita akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk memperbanyakkan projek PR1MA,” katanya pada majlis perasmian ekspo itu.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan turut hadir menyempurnakan majlis perasmian ekspo lima hari itu yang mempamerkan lapan projek PR1MA di Port Dickson, Seremban Sentral, Rantau 1 dan 2, Senawang, Seremban Utara, Pedas, Taman Green View serta Kuala Pilah.

Ekspo berkenaan adalah inisiatif PR1MA, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Perumahan Negara, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Mengulas lanjut, Abdul Mutalib berkata, Negeri Sembilan menyediakan lokasi perumahan yang strategik kerana terletak berhampiran Kuala Lumpur dan Putrajaya, malah menerima limpahan pembangunan pesat yang berlaku di Lembah Klang.

“Kewujudan infrastruktur dan kemudahan awam seperti lebuh raya serta perkhidmatan kereta api turut memainkan peranan penting menggalakkan orang dari Kuala Lumpur untuk membeli kediaman di negeri ini, terutama di Seremban,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, penubuhan PR1MA dan agensi lain yang memberi tumpuan terhadap pembinaan rumah mampu milik membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu semua rakyat terutama golongan B40 dan M40 untuk membeli rumah.

“Harga rumah semakin lama semakin tinggi, menyebabkan kadar sewa juga meningkat, jadi kerajaan mengambil langkah membina lebih banyak rumah yang mampu dibeli oleh golongan terbabit.

“Hasilnya, sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana projek perumahan PR1MA ini dilaksanakan di lokasi strategik dan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk rangkaian pengangkutan awam yang cekap,” katanya.

Menurutnya, seiring kerajaan pusat, kerajaan negeri juga proaktif memperkenalkan Dasar Perumahan Negeri Sembilan yang mewajibkan pemaju membina rumah mampu milik berharga RM80,000 ke bawah (20 peratus), RM250,000 ke bawah (15 peratus) dan RM400,000 ke bawah (15 peratus) dalam setiap projek yang diluluskan.

Katanya, kerajaan negeri juga akan melancarkan projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Plus di Bandar Seri Sendayan membabitkan 350 unit rumah teres satu dan dua tingkat, pada 26 April depan, untuk memberi peluang kepada penjawat awam di negeri ini memiliki rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 5:06 PM