LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedia mempertimbangkan untuk mengeluarkan pas sementara kepada warga Syria Hassan al Kontar, 36, yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sejak 7 Mac lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pas sementara itu akan diberi jika lelaki berkenaan lulus tapisan keselamatan dan saringan kesihatan oleh Pasukan Petugas Khas Program Penempatan Migran Syria di Malaysia.

Katanya, pihaknya akan mempertimbangkan perkara itu mengikut Program Penempatan Migran Syria di Malaysia yang diperkenalkan kerajaan sejak dua tahun lalu.

“Tapisan keselamatan dan saringan kesihatan itu penting bagi melihat keadaan dan latar belakang sebenar warga Syria yang terkandas itu,” katanya.

Beliau berkata demikain pada sidang media selepas menyempurnakan sambutan Hari Imigresen dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Imigresen Malaysia 2017 di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata, KDN perlu hati-hati terutama dalam mempertimbangkan kemasukan mana-mana pelarian dari negara Timur Tengah yang berdepan dengan pergolakan dan peperangan.

Menurutnya, tapisan keselamatan penting bagi memastikan tiada pihak terbabit dengan aktiviti Daish berjaya memasuki negara ini.

Difahamkan, Hassan berada di zon transit klia2 sejak 37 hari lalu dan bergantung kepada kebaikan kakitangan lapangan terbang dan syarikat penerbangan untuk makanan serta bekalan keperluan lain.

Bekas jurujual insurans itu mendakwa tinggal di lapangan terbang kerana bimbang ditangkap jika dihantar pulang ke Syria yang masih dilanda perang saudara yang berlanjutan selama tujuh tahun.

Terdahulu, Nur Jazlan menyampaikan APC kepada warga Jabatan Imigresen membabitkan keseluruhan 851 penerima.

Berita berkaitan

Warga Syria terkandas lebih sebulan di KLIA2

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 4:15 PM