FORKLIFT digunakan untuk mengangkat kereta dan mengeluarkan mangsa yang digilis selepas tercampak dari motosikal dalam kemalangan di Jalan Pasir Mas-Tanah Merah dekat Kampung Kangkung, Pasir Mas, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Attirmidzie Rahman


PEMBONCENG motosikal maut selepas digilis kereta dalam kemalangan di Kilometer 9 Jalan Pasir Mas-Tanah Merah dekat Kampung Kangkung, Pasir Mas, hari ini.

Dalam kejadian 3.20 petang itu, mangsa yang belum disahkan identitinya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Mayat lelaki berusia 30-an itu dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

Penunggang motosikal yang tidak cedera pula masih dikesan untuk membantu siasatan selepas tiada di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, sebelum kejadian mangsa menaiki motosikal Modenas Kriss dengan rakannya dari arah Pasir Mas menuju ke Tanah Merah.

Beliau berkata, apabila tiba di lokasi kejadian motosikal mangsa merempuh belakang kereta Perodua Myvi dari sama.

“Rempuhan itu mengakibatkan motosikal mereka hilang kawalan sebelum pembonceng motosikal itu tercampak ke jalan bertentangan.

“Mangsa yang terbaring di atas jalan dirempuh kereta Toyota Vios yang datang dari arah bertentangan dan maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, identiti mangsa dapat kenal pasti susulan tiada kad pengenalan diri ditemui bersamanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, saksi kejadian, Norhashila Che Harun, 17, berkata dia sempat melihat mangsa memotong motosikalnya sebelum berlaku kemalangan itu.

“Selepas memotong, motosikal mereka merempuh kereta di hadapan dan hilang kawalan sehingga menyebabkan pemboncengnya tercampak.

“Kemudian kereta Toyota Vios dari arah bertentangan menggilis mangsa yang terbaring di atas jalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 7:14 PM