PASUKAN penyelamat diberi taklimat sebelum memulakan operasi pencarian Ho yang hilang ketika menjerat haiwan di hutan berhampiran Teluk Rubiah, Seri Manjung. FOTO ihsan polis
Noor Hidayah Tanzizi


LELAKI warga emas yang dilaporkan hilang sejak enam hari lalu ketika menjerat haiwan di hutan berhampiran Teluk Rubiah, Seri Manjung, masih belum ditemui.

Sehingga 7 malam ini, mangsa Ho Tong Chim, 89, belum ditemui pasukan yang terbabit dalam usaha mencarinya dan usaha itu akan disambung esok.

Kehilangan warga emas berkenaan selepas dia dikatakan keluar menjerat haiwan di kawasan itu pada petang Ahad lalu, menjadi tanda tanya.

Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung, Shuib Idris, berkata operasi hari ini tertumpu kepada pencarian di kawasan tali air seperti parit, longkang dan sungai kecil.

“Radius kawasan operasi diperluaskan sehingga lima kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang, namun buat masa ini masih tiada lagi petunjuk baharu.

“Usaha mengesan mangsa turut dilakukan di beberapa lokasi lain di kawasan bandar seperti di sekitar Seri Manjung, hospital dan rumah orang tua dan turut dibantu anak mangsa serta rakan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superintendan Chong Boo Khim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan operasi mencari serta menyelamat (SAR) masih diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 9:11 PM