(Dari kiri) Phoon Kok Choon, Jasbeer Singh, Mazlan Zainuddin dan Sukhdev Singh menunjukan kad bantuan teksi 1Malaysia pada Majlis Penyerahan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia. FOTO Syarafiq Abd Samad
Mohd Nasaruddin Parzi dan Arfa Yunus


SERAMAI 67,000 pemandu teksi di seluruh negara akan menerima Kad Bantuan Teksi 1Malaysia bernilai RM800, membabitkan dana sebanyak RM53.6 juta.

Kad bantuan itu yang menjadi sebahagian usaha kerajaan untuk meningkatkan daya saing kumpulan itu mula diagihkan secara berperingkat hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengumumkannya berkata, kad itu akan diagihkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerjasama Kementerian Kewangan.

“Dengan kad bantuan ini, tuan-tuan dan puan-puan (semua pemandu teksi) dapat mengisikan teksi dengan NGV atau petrol di stesen minyak PETRONAS (seluruh negara).

“Melalui kad bantuan ini, pemandu teksi juga akan mendapat kemudahan-kemudahan lain di bawah program kesetiaan Mesra (PETRONAS) termasuk perlindungan insurans kemalangan peribadi hingga RM50,000.

"Saya percaya dengan penggunaan kad bantuan itu, ia dapat mengurangkan kos operasi harian dan dengan itu meningkatkan lagi pendapatan,” katanya.

Najib yang juga Menteri kewangan turut memaklumkan pemandu teksi yang layak memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) namun berdepan masalah pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), akan menerima kelulusan BR1M secara automatik.

“Ini termasuk BR1M tambahan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Penyerahan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini. Majlis itu dihadiri lebih 10,000 pemandu teksi dari seluruh negara.

Turut hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Syukri; Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah.

Mengulas lanjut, Najib berkata, bantuan itu diberikan sebagai menghargai peranan pemandu teksi sebagai penyedia perkhidmatan di dalam sistem pengangkutan awam darat negara, disamping menyedari bahan api sebagai sebahagian komponen kos utama dalam pengoperasian teksi.

Dalam pada itu, Najib berkata, bagi memastikan persaingan adil dan sihat, Kabinet pada 6 April lalu memutuskan perkhidmatan e-hailing perlu melalui syarat-syarat yang sama seperti yang dikenakan kepada pemandu teksi.

“Objektif kita adalah supaya wujud medan persaingan yang sama rata, di mana semua pengamal perkhidmatan teksi, kereta sewa dan pemandu e-hailing perlu melalui syarat dan peraturan yang sama dan sekata,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, sejak beliau mula mengambil tampuk kepemimpinan negara, menyedari banyak masalah dan ketidakadilan yang berlaku terhadap pemandu teksi, iaitu di bawah model pajak yang begitu membebankan.

“Malah pernah disifatkan sebagai sejenis perhambaan zaman moden atau ‘modern day slavery’.

“Saya minta SPAD mencari jalan dan membuat cadangan kepada kerajaan. Kerajaan melalui inisiatif pertama di bawah TITP (Program Transformasi Industri Teksi) bersetuju menyerahkan lesen individu kepada pemandu yang akan keluar daripada sistem pajak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 9:39 PM