Saifuddin (tiga kiri), Fuziah (enam kanan) dan Fauzi (empat kiri) bersama calon-calon PKR. FOTO Farizul Hafiz Awang
Nik Sukry Ramli
niksukry@bh.com.my

KETUA Setiausaha pakatan pembangkang, Datuk Saifuddin Abdullah diumumkan sebagai calon Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bulan hadapan.

Pengumuman itu secara rasminya mengesahkan pertembungan kali kedua antara Saifuddin dan Nasruddin Hassan menewaskan pemimpin PKR itu pada PRU-13.

Saifuddin yang ketika itu mewakili Barisan Nasional (BN) tewas kepada Ketua Penerangan PAS itu dengan perbezaan 1,070 undi.

Sementara itu penyelaras pakatan pembangkang bagi Parlimen Paya Besar, Mohd Yazid Mohd Yunus daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), diumum sebagai calon bagi kerusi kawasan itu.

Penyandang kerusi Parlimen Kuantan, Fauziah Salleh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikekalkan bertanding di kawasan itu untuk penggal ketiga.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman pada majlis Jamuan Makan Malam PRU-14 di Kuantan malam tadi.

Turut hadir itu Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan EXco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Kim.

Fauzi yang sebelum ini menang di kerusi Parlimen Indera Mahkota pada PRU-13 dan tahun 2008, pula berpindah ke kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing.

Beliau berkata, penyandang kerusi DUN Semambu dalam Parlimen Indera Mahkota, Lee Chean Chung akan mempertahankan kerusi dimenangi sebelum ini, begitu juga bagi kerusi DUN Teruntum dalam Parlimen Kuantan akan ditandingi penyandangnya, Sim Chon Siang.

“Kerusi DUN Panching dalam Parlimen Paya Besar pula, pakatan pembangkang akan meletakkan penyelaras DUN itu daripada PKR, Kamarzaman Mohamed Yunus.

“Bagi kerusi DUN Inderapura pula, pembangkang akan meletakkan calon daripada PKR, Fakhrul Anuar Zulkawi,” katanya.

Dua calon daripada Parti Amanah Negara (PAN) pula ialah Zulkifli Mohamed untuk kerusi DUN Beserah (Parlimen Indera Mahkota) dan Sabrina Md Yusoff bagi kerusi DUN Tanjung Lumpur (Parlimen Kuantan).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 1:36 AM