Sabarima melayan pelanggan memilih beras.
Khalid Latip


Mukah: Ketika ramai gadis sebayanya memilih perniagaan berasaskan fesyen, Sabarima Zaruis, 26, dari Kampung Bruit, Daro memilih menjadi pemborong beras yang selama ini menjadi dominasi golongan lelaki.

Berbekalkan kelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan pengalaman menyertai Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), dia tidak kekok menceburi perniagaan itu.

Menurutnya, kepayahan hidup keluarganya yang bergantung kepada hasil laut mencetus semangatnya untuk ‘terjun’ ke bidang perniagaan yang mencabar kerana mahu keluar dari zon selesa.

“Mulanya, memang ada pembekal dan pelanggan terkejut apabila mendapati ‘tauke beras’ ini adalah seorang gadis kerana jarang sekali golongan wanita menceburi perniagaan begini.

“Namun, mereka memberikan sokongan kepada saya untuk terus mengembangkan perniagaan ini, malah kerajaan sentiasa berusaha memperkasakan golongan wanita,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Mengimbas detik awalnya dalam perniagaan itu, Sabarima berkata, dia bermula secara kecil-kecilan dengan membeli beras kampung dan menjualnya kepada pemborong di Daro dan Sibu.

“Di peringkat awal dulu, memang sukar mencari pasaran kerana saya tidak berpengalaman dalam bidang ini.

“Syukur, berkat kesungguhan dan sokongan keluarga kini sudah mempunyai pasaran sendiri serta mampu mengeluarkan hampir satu tan beras setiap kali musim menuai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 5:50 AM