Mohd Shafuan Khairi


POLIS sedang giat menjalankan operasi mengesan banduan kes rogol melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam.

Suspek dikenali sebagai Abdullah Mat Akib, 39, berasal dari Kuala Krai dipercayai melarikan diri dengan melompat pagar penjara pada 7 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi berkata, pihaknya belum lagi dapat mengesan banduan itu.

"Pihak kami mengambil keterangan beberapa orang saksi sejak semalam untuk membantu kami mengesan lelaki itu.

"Operasi untuk mengesan lelaki itu masih lagi dijalankan tetapi hingga saat ini kami masih belum menangkap banduan itu," katanya.

Ismail meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu supaya menghubungi mana-mana balai polis terdekat.

"Mereka boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di talian 09-7450999 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Bharu di talian 09-7741022," katanya.

Semalam NSTP melaporkan suspek melarikan diri dengan hanya memakai seluar pendek dan tidak berbaju.

Difahamkan, banduan terbabit sedang menjalani hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan sejak 2016 bagi kesalahan merogol.

Berita berkaitan

Banduan bolos diburu

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 1:19 PM