WAN Abdul Rahim. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali


ANAK Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar masih belum memberi kata putus untuk bertanding di bawah tiket Parti Amanah Negara (PAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi PAN Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, pihaknya difahamkan Nik Omar masih mengadakan rundingan dengan keluarganya.

Katanya, setakat ini PAN belum mendapat maklumat atau tidak dimaklumkan sebarang keputusan berhubung perkara itu.

"Sepatutnya... keputusan beliau (Nik Omar) menerima tawaran untuk menjadi calon PAN hari ini, namun hingga kini kita tidak menerima sebarang kata putus.

"PAN menunggu dengan sabar dan akan menerima apa saja keputusan beliau (Nik Omar) kerana masih berunding dengan keluarganya," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, PAN berharap anak bekas Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS itu bersetuju menerima tawaran parti itu untuk menjadi calon pada PRU-14.

Sebelum ini, NSTP melaporkan, keputusan Nik Omar untuk bertanding di bawah tiket PAN pada PRU-14 akan diketahui hari ini.

Wan Abdul Rahim berkata, perbincangan berhubung perkara itu masih berlangsung dan tawaran terbuka itu dibuat oleh Penasihat PAN, Husam Musa kepada Nik Omar untuk bertanding, dalam beberapa majlis di Kelantan, sejak tahun lalu.

Desas-desus mengenai abang sulung kepada Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh itu bertanding di bawah tiket PAN bertiup kencang, sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, kerusi mana akan ditandingi Nik Omar masih menjadi tanda tanya semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 4:43 PM