ISMAIL Sabri (tiga kanan) melakukan gimik pada majlis pelancaran SPED NANO sempena Karnival Usahawan Desa [email protected] FOTO Farizul Hafiz Awang

Bera: “Sebelum ini, saya terpaksa menggunakan duit sendiri sebagai modal memulakan perniagaan, tetapi kini dengan bantuan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) NANO, boleh saya memperluaskan dan menceburi perniagaan lain,” kata usahawan minyak wangi, Mohd Shahriza Maarof.

Mohd Shahriza, 33, antara penerima SPED NANO yang diperkenalkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dalam usaha membantu usahawan kecil Bumiputera di seluruh negara.

Melalui skim itu, KKLW memperuntukkan RM15 juta bagi membolehkan usahawan kecil mengembangkan perniagaan, sekali gus menambahkan pendapatan keluarga.

Katanya, dia akan menggunakan pinjaman berkenaan untuk menceburkan diri dalam perusahaan pakaian.

Tukang jahit, Zabidah Ismail, 57, menarik nafas lega apabila pinjaman SPED NANO yang dipohon RM10,000 diluluskan MARA.

”Pinjaman ini untuk membeli mesin jahit serta peralatan menjahit. Buat masa ini saya mempunyai satu mesin jahit dan sering rosak menyebabkan tempahan pelanggan lambat disiapkan,” katanya yang sudah enam tahun menjalankan perniagaan menjahit.

Sementara itu, Menteri KKLW, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) membabitkan pembiayaan maksimum sehingga RM10,000.

Pihaknya menyasarkan 1,500 usahawan kecil menerima manfaat melalui pembiayaan berkenaan dan dihadkan kepada mereka mempunyai pendapatan kurang daripada RM150,000 setahun.

“Kami mempermudahkan proses pembiayaan skim berkenaan antaranya tidak memerlukan penjamin dan cagaran selain peminjam tidak perlu mempunyai akaun perniagaan tertentu. Ia juga berlandaskan pinjaman islamik.

“Proses kelulusan hanya mengambil masa tujuh hari dengan kadar keuntungan empat peratus dan tempoh pembayaran balik pinjaman lima tahun,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran SPED NANO di Laman Kerayong di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, Ismail Sabri menyampaikan replika cek pembiayaan SPED NANO kepada 15 usahawan kecil dalam Parlimen Bera.

Sebelum ini, kementerian itu menyediakan kemudahan pinjaman mikro bagi perniagaan kecil yang mempunyai pendapatan RM300,000 setahun.

Namun melihat keperluan usahawan yang baru berkecimpung dalam bidang perniagaan, ia mengecilkan lagi segmentasi perusahaan berkenaan menerusi SPED NANO.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera berkata, bagi memastikan pinjaman berkenaan dibayar mengikut tempoh ditetapkan, pegawai pejabat MARA akan memantau perniagaan diusahakan usahawan kecil berkenaan.

“Pemantauan juga merangkumi khidmat nasihat termasuk dari segi pemasaran untuk memperluaskan lagi perniagaan mereka.

“Pembiayaan ini terbuka kepada mereka yang baru memulakan perniagaan ataupun mahu memajukan perniagaan sedia ada.

“Jika selepas ini mereka mahu mengembangkan perniagaan dan mendapatkan jumlah pinjaman yang lebih tinggi, kita akan membantu mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 4:35 PM